Konsep Keindahan Melayu Klasik
Pengertian istilah ‘keindahan’ tidak sederhana lagi ketika dikaitkan dengan pemikiran seni. Persoalannya yang mengundang pemikiran adalah membezakan keindahan sebagai rasa (sense) dan keindahan sebagai fenomena (kecantikan, keserasian) yang menimbulkan rasa ini. Di dunia seni, selok-belok keindahan dikenali sebagai persoalan ‘estetik’. Istilah ‘estetik’ ini berasal dari istilah dalam bahasa Yunani kuno, iaitu ‘aesthesis’, yang pengertiannya adalah ‘persepsi rasa’ (sense perception). Dalam kebudayaan Yunani, persepsi rasa ini merupakan sebahagian dari dunia filsafat dan boleh diertikan sebagai ‘fikiran yang muncul dari rasa’.
Pada dasarnya, sastera klasik merupakan karya sastera budaya dan etnik (daerah). Bangsa-bangsa di kawasan Asia Tenggara sangatlah beruntung kerana memiliki khazanah sastera klasik yang amat beragam dan kaya. Wilayah-wilayah budaya dan etnik itu masing-masing memiliki sastera klasik, yang semuanya memiliki sifat-sifat yang khas. Karya sastera ini timbul dan berkembang pada zaman yang belum mengenal istilah demokrasi, HAM (Hak Asasi Manusia), industrialisasi, globalisasi, dan anasir-anasir moden lainnya.
Sastera klasik sebahagian besarnya berakar dari sikap hidup tradisional yang feudal. Adalah wajar apabila kemudiannya muncul pertanyaan; nilai apa lagi yang masih dianggap relevan dan bermanfaat dari penelitian sastera klasik dalam konteks kehidupan yang serba moden seperti sekarang. Dalam karya-karya klasik memang terkandung pemikiran-pemikiran yang dekaden, penuh tahyul, dan menidurkan. Hal ini demikian sukar untuk diterjemahkan. Cerita-cerita masa lampau mengandungi banyak unsur yang tidak relevan lagi dengan nafas modernisme dan semangat demokrasi. Karya dan kehidupan klasik (tradisional) sukar dipisahkan dari unsur feudalisme dan mistisisme. Namun demikian, hal lain yang tidak boleh dilupakan adalah bahawa sastera klasik merupakan catatan hidup dan kehidupan manusia masa lampau, sebagai sebahagian dari karya-karya kemanusiaan. Hal ini bermakna, karya-karya sastera klasik tidak mungkin lepas dari nilai-nilai kemanusiaan yang universal.
Bahawa masa lampau dan masa kini adalah merupakan sebuah jurang. Antara kedua-duanya memerlukan sebuah jambatan. Pertemuan antara keduanya sangatlah penting untuk membangun satu bentuk konvergensi budaya yang berkeperibadian, tanpa harus kehilangan identiti kebangsaannya.Penggalian terhadap sastera klasik diharapkan dapat memperoleh nilai pengalaman, perasaan, dan pemikiran esensial kemasyarakatan. Pemerolehan akan nilai-nilai tersebut sangat bermanfaat untuk menambah kearifan dan kebijakan hidup, baik di masa sekarang mahupun pada masa yang akan datang (Alfian et al, 1992).
Penggalian-penggalian terhadap hal-hal di atas telah banyak dilakukan, baik oleh para filologi mahupun ahli-ahli dari disiplin ilmu lain (antropologi, sosiologi, dan sebagainya). Hasilnya, mereka mengakui bahawa karya-karya sastera klasik ternyata sarat dengan nilai terutamanya estetik. Dalam karya-karya klasik banyak terkandung pesan-pesan moral, didaktis, dan adat-istiadat (Djamaris, 1990; Fang, 1991; dan Danandjaja, 1994). Temuan-temuan tersebut tentunya bukan sesuatu yang akhir. Yang selama ini dilakukan umumnya masih terpisah-pisah, hanya berfokus pada karya sastera itu sendiri. Jenis sastera Melayu Islam merupakan karya klasik yang belum mendapat perhatian sebagaimana mestinya. Padahal karya-karya ini lebih dominan dalam khazanah perkembangan sastra Nusantara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan