Selasa, 2 Disember 2014

Hikayat Abdullah

 Hikayat Abdullah

Hikayat Abdullah Munsyi merupakan suatu penceritaan yang menggambarkan kehidupan penduduk negeri Melaka. Keadaan ini berlaku dalam tahun 1800 hingga tahun 1840-an. Peristiwa yang berlaku dialami, dilihat dan didengar  sendiri oleh Abdullah Munsyi (Abdullah Bin Abdul Kadir Munsyi).Hikayat Abdullah bukan berupa penulisan sejarah atau politik yang tulin. Buku tersebut tidak membentangkan suatu analisis sejarah yang mengesahkan pergolakan politik dan pemerintahan. Tiada sebarang tarikh yang spesifik atau releven dimuatkan dalam kisah-kisah yang dihuraikan oleh beliau.

            Hikayat Abdullah mengandungi riwayat hidup Abdullah, keturunan, perihal zaman kanak-kanak, zaman persekolahan, serta minat dan latar belakang keluarga beliau. Namun semua itu hanya terkandung pada permulaan hikayat ini sahaja iaitu sebagian kecil sahaja daripada penceritaan Hikayat Abdullah. Bagaimanapun, sesetengah tokoh sastera atau sejarah berpendapat bahawa Hikayat Abdullah boleh diklasifikasikan sebagai sebuah penulisan autobiografi.Sebahagian besar yang dikisahkan di dalam Hikayat Abdullah adalah berkaitan peristiwa harian terutamanya yang berkaitan dengan perhubungan dan pengalaman Abdullah sendiri dengan orang-orang Inggeris, iaitu para pegawai Inggeris yang bekerja di dalam kerajaan atau di luar kerajaan, selain itu, penceritaan ini juga berhubungan tentang penduduk tempatan dengan pemerintah. Oleh sebab itu, terdapat tokoh sastera yang berpendapat kurang tepat jika menyifatkan buku tersebut sebagai autobiografi.

         Dalam Hikayat Abdullah ini juga, Abdullah sering menurunkan pemikiran dan falsafah beliau terhadap beberapa isi. Misalnya berkenaan dengan bahasa Melayu, berkenaan sikap orang Melayu, kepandaian dan teknologi orang Eropah,  dan berkenaan sistem pemerintahan Inggeris yang berteraskan undang-undang bertulis, keadilan bersistem serta teratur. Hikayat ini juga cuba memaparkan sejarah sosial pada zaman Abdullah Munsyi semasa beliau tinggal di Melaka. 

         Pendekatan sejarah sosial ini cuba melihat sejarah bukan dari sudut pergolakan politik, tetapi lebih menumpukan sudut perhubungan dalam masyarakat. Antara aspek yang menjadi fokus ialah corak pergaulan dan adat resam, budaya serta perhubungan antara masyarakat, sistem ekonomi, pendidikan, sebutan dalam bahasa, corak pemikiran serta keupayaan masyarakat dan sebagainya. 
Rangkuman sosial ini juga meliputi perhubungan para penduduk dengan pihak pemerintah dalam sesuatu zaman. Oleh yang demikian, sudut sejarah sosial lebih bersifat neutral, tidak berat sebelah dan tidak prejudis. Sejarah sosial tidak dipengaruhi unsur ‘siapa yang benar, siapa yang salah’ kerana segala peristiwa yang telah berlaku itu, memang benar-benar berlaku, berpadanan dengan suasana persekitaran dan corak pemerintahan serta politik sezaman. Semua ini menjadi sebagian daripada apa yang dikatakan dan diakui sebagai fakta-fakta sejarah.Segala peristiwa yang dilihat, didengar dan dialami oleh beliau, iaitu kisah-kisah harian yang berlaku di Bandar Melaka sepanjang tempoh kira-kira dari tahun 1800 sehingga 1840, cuba dipaparkan di dalam hikayat ini.


Ulasan Hikayat Merong Mahawangsa

Ulasan Hikayat Merong Mahawangsa

Hikayat Merong Mahawangsa Hikayat Merong Mahawangsa merupakan salah satu karya agung yang meninggalkan kesan yang mendalam sehingga ke hari ini. Hikayat ini banyak menceritakan tentang sejarah perkaitan negeri Kedah dengan Siam. Pemerintahan oleh negeri Kedah kepada Siam apabila Raja Seri Mahawangsa (Raja Kedah yang ketiga) mendapat berita kekanda sulungnya Raja Siam mendapat putera. Terus raja Kedah memerintahkan supaya tradisi menghantar bunga emas itu diteruskan hingga ke akhir zaman setiap kali mendapat putera.

 Sebelum kedatangan Islam, agama Hindu atau Buddha telah lama bertapak di dalam kehidupan masyarakat di Kepulauan Melayu.Kedatangan Islam dikatakan telah memantapkan keseluruhan pandangan Semesta Melayu. Kedatangan Islam telah memberi impak yang besar dalam kehidupan masyarakat Melayu termasuklah dari segi budaya, amalan dan kepercayaan.
Nilai-nilai yang menjadi asas kepada tamadun Melayu berteraskan kepada nilai-nilai agama Islam. Kesemua nilai tersebut berkait rapat dengan konsep iman yang terdapat dalam agama Islam. Nilai asas ini boleh dilihat dalam ungkapan-ungkapan Melayu seperti peribahasa, perumpamaan dan pepatah-pepatih.

1.      Kepercayaan kepada Allah S.W.T

Maka sabda Nabi Allah Sulaiman, “Hai segala-gala raja-raja…dalam empat perkara ini hendaklah jangan sekali-kali ditentukan, jikalau tiada dengan dengan janji daripada Tuhan alam. Pertama rezeki, …keempat, perkara perceraian yang sudah sampai waktu, saat harinya, tiada akan dapat hendak menantikan esok harinya, tiadalah boleh, melainkan dengan sekaliannya itu pun dengan janji-Nya jua.”
                                                                                    (Hikayat Merong Mahawangsa, hlm 23)

Pada mulanya burung geroda ingin menghalang rombongan untuk menyatukan puteri raja Benua China dengan anak raja Rom. Burung geroda menyerang bahtera yang membawa anak raja Rom sehingga hancur. Walaupun berbagai dugaan yang menimpa anak raja Rom namun akhirnya mereka dapat disatukan jua. Nabi Allah Sulaiman menasihati para pengikutnya berkenaan empat perkara dalam Islam yang tidak dapat diubah kerana telah ditentukan oleh Allah S.W.T. iaitu rezeki, perkara yang memutuskan rezeki, jodoh dan pertemuan dan perceraian yakni kematian. 

2.Ketaatan kepada raja dan pemimpin. 

Menghormati raja dan pemimpin merupakan perilaku atau perkara yang sudah diamalkan sejak dahulu lagi sehinggalah sekarang. Sehinggakan, sesiapa yang ingkar akan perintah raja akan dikenakan tulah iaitu kehidupan mereka akan sengsara atau mendapat nasib yang buruk. 
Maka sembah Raja Merong Mahawangsa, “ Baiklah, tuanku, barang yang dititahkan itu patik kerjakan, tuanku.”
                                                                                    (Hikayat Merong Mahawangsa, hlm 7)

Raja Merong Mahawangsa telah menerima tugas yang diberikan oleh raja Rom dengan senang hati. Arahan yang diberikan oleh raja Rom agar Raja Merong Mahawangsa pergi ke Benua China untuk menggantikannya dan menyampaikan hasratnya untuk mengahwinankan anakandanya dengan puteri raja Benua China. Hal ini menunjukkan bahawa, sikap Raja Merong Mahawangsa yang menerima tugas yang diberikan membuktikan bahawa beliau merupakan seorang yang taat kepada raja dan pemimpin.
Menghormati ibu bapa dituntut dalam Islam kerana kedudukan, martabat dan kemuliaan ibu bapa sangat istimewa serta tinggi sekali sehinggakan ibu bapa adalah yang kedua perlu dihormati selepas yang Maha Pencipta. Raja Merong Mahapudisat digambarkan sebagai seorang yang taat kepada perintah ayahnya, Raja Merong Mahawangsa untuk menempatkan anak-anaknya di beberapa buah tempat supaya dapat mendirikan kerajaan baru. Perkara ini dapat dilihat pada halaman 37.


Setelah didengar oleh Raja Merong Mahapudisatn sembah menteri itu, lalu ia bertitah kepada menterinya, “Jikalau demikian hendaklah saudara kerahkan segala kaum gergasi himpun sekaliannya dan panggil … , kita beri ia pergi bersama-sama anak kita…
                                                                                     (Hikayat Merong Mahawangsa, hlm 37)

Raja Merong Mahapudisat segera menitahkan pembesarnya untuk menyediakan keperluan serta askar pengiring untuk anakandanya berhijrah ke tempat lain bagi membuka penempatan baru. Raja Merong Mahapudisat dilihat sebagai seorang yang sangat taat kepada perintah ayahandanya. Beliau segera melakukan suruhan ayahandanya setelah diingatkan oleh pembesarnya.

3. Berpegang teguh kepada adat resam
Masyarakat Melayu berpegang teguh kepada adat tradisi seperti dilihat dalam amalan hidup seharian. Orang Melayu amat menjaga adat resam termasuklah pantang-larang dan adat istiadat yang diwarisi dan diamalkan sejak turun-temurun.

“...setelah sudah dibaca surat itu lalu sama duduk sekaliannya itu berjabat tangan. Maka raja China pun menyorong puannya sirih persantapan pada Raja Jin Harman Syah, katanya, “Makanlah sirih hai saudaraku Raja Harman Syah,”serta menyuruh keluar ia itu.”
                                                                                    (Hikayat Merong Mahawangsa, hlm 26)

Sirih dan pinang berperanan penting dalam upacara, adat resam dan budaya semasa, masyarakat Melayu etika itu. Dalam petikan di atas adat makan sirih digunakan ketika menyambut tetamu.

4. Memuliakan yang tua

Maka sahut anak raja Rom itu dengan perlahan-lahan, “ Hai ibuku, bahawa dengan sesungguhnya beta ini manusia juga. Betalah anak raja Rom, hendak pergi kahwin dengan puteri anak raja Benua China dengan beberapa buah bahtera…

                                                                                    (Hikayat Merong Mahawangsa, hlm 16)

Walaupun anak raja Rom dalam keadaan sakit setelah bahteranya di musnahkan oleh burung geroda, beliau masih lagi mampu mengucapkan kata-kata yang bersopan kepada Mak Inang. Malahan beliau membahasakan ibu kepada Mak Inang.

5. Bertimbang rasa
Orang Melayu sentiasa mengutamakan perasaan orang lain dalam pelbagai keadaan.

Maka mak inang tuan puteri itu pun terlalulah belas kasihan hatinya mendengarkan hal anak raja Rom itu lalu ia pun kembali pada tuan puteri persembahkan hal itu sekalianya dengan suka tertawanya.
(Hikayat Merong Mahawangsa, hlm 17)

Kesimpulannya, dalam Hikayat Merong Mahawangsa yang telah dikaji dan diperkenalkan oleh Siti Hawa Haji Salleh ini banyak mempunyai nilai melayu yang tersembunyi. Malahan, setiap penulisan sejarah tradisional Melayu, mereka kebanyakkannya hendak  menggambarkan cara hidup dan pemikiran masyarakat yang melahirkannya dengan jelas. Dalam Hikayat Merong Mahawangsa ini, banyak memperkatakan tentang nilai melayu yang tinggi yang ingin disampaikan kepada pembaca agar pembaca dapat mencontohi nilai tersebut.


Ulasan Hikayat Hang Tuah

Ulasan Hikayat Hang Tuah

Hikayat Hang Tuah merupakan hikayat yang ditulis dalam tulisan Jawi milik Almarhum Tengku Ibrahim ibni Almarhum Tengku Muhammad. Hasil penulisan karya beliau, kini ia menjadi sumber utama bagi penerbitan Hikayat Hang Tuah buat kali pertama oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1964 oleh Kassim Ahmad. Naskhah yang berjaya menambat hati para sarjana pelbagai negara ini bukanlah karya yang boleh dianggap sebagai karya sejarah. Hal ini jelas dilihat pada perkataan “Hikayat” yang menjadi pangkal judul karya agung ini. Namun demikian, teks ini diakui sebagai pelopor bentuk novel Melayu moden yang ditampilkan oleh Syed Syeikh al-Hadi menerusi Hikayat Faridah Hanum (1925).
Karya kreatif yang memuatkan elemen sejarah dan sastera ini dimulakan dengan pengenalan dan penubuhan Kesultanan Melayu Melaka yang berpusat di Singapura sebelum ke Bentan dan Melaka. Susur-galur hikayat ini dipenuhi pelbagai kisah mengenai kepahlawanan Hang Tuah dan empat bersaudara iaitu Hang Lekir, Hang Kasturi, Hang Lekiu dan Hang Jebat.  Naskhah ini menampilkan Hang Tuah sebagai seorang legenda yang penuh keramat sama seperti watak Raja Melaka, Bendahara dan Temenggung yang hidup dari tarikh pembukaan kota Melaka, namun tidak disebut tentang kematiannya. Unsur realisme magis yang wujud dalam karya ini mengukuhkan kewujudannya sebagai karya kreatif yang penuh kemewahan estetik cerita dan bahasa. Hal ini sekali gus menolak usaha memperkecil karya ini sebagai naskhah tidak logik dan melanggar hukum sejarah.
Epik Melayu Hikayat Hang Tuah mengisahkan kesetiaan dan ketaatan seorang rakyat terhadap raja. Ketaatan tidak berbelah bahagi menyebabkan Hang Tuah rela berkorban nyawa demi memenuhi segala kehendak raja termasuklah menculik Tun Teja yang menjadi idaman raja. Pengkaji mendapati hikayat ini boleh dibahagikan kepada dua bahagian iaitu bahagian perlawanan dan bahagian pengembaraan. Wira Hang Tuah yang berjaya memiliki keris Taming Sari menjadi titik temu dalam naskhah ini.
Satu kisah yang amat penting dalam hikayat ini ialah pertelingkahan antara Hang Tuah dengan Hang Jebat akibat perbezaan pendapat. Meskipun Hang Tuah dan Hang Jebat bersahabat sejak kecil hingga dewasa, keengganan Hang Jebat menerima ketaatan penuh Hang Tuah hingga mengorbankan nyawa menyebabkan Hang Jebat mengamuk di istana. Rasa ingin menuntut bela atas kekejaman raja yang menjatuhkan hukuman mati terhadap Hang Tuah ingin dilunasi Hang Jebat. Akhirnya Hang Jebat mati ditikam Hang Tuah.
Persahabatan, kemanusiaan atau kesetiaan terhadap raja menjadi fokus persoalan Hang Tuah dan Hang Jebat. Tingkah Hang Jebat ialah satu usaha baharu pengarang menampilkan pandangan terkini pada era itu mengenai polemik ketaatan terhadap raja yang tidak berperikemanusiaan.

Pengenalan tambahan oleh sarjana sastera Noriah Mohamed dalam edisi ini membolehkan khalayak pembaca mendapat satu gambaran yang lebih jelas dalam meneliti, memahami dan menganalisis karya agung ini. Sekiranya terdapat segelintir masyarakat sastera yang menanggap bahawa naratif penuh magis lahir dari dunia Barat, maka pembacaan terhadap karya agung

Hikayat Hang Tuah dalam Tamadun Melayu ini akan mendedahkan ilmu penulisan kreatif Melayu yang sudah lama dimesrai realisme magis menerusi watak Hang Tuah berserta segala keistimewaannya.