Ulasan Hikayat Hang
Tuah
Hikayat Hang Tuah
merupakan hikayat yang ditulis dalam tulisan Jawi milik Almarhum Tengku Ibrahim
ibni Almarhum Tengku Muhammad. Hasil penulisan karya beliau, kini ia menjadi
sumber utama bagi penerbitan Hikayat Hang Tuah buat kali
pertama oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1964 oleh Kassim Ahmad.
Naskhah yang berjaya menambat hati para sarjana pelbagai negara ini bukanlah
karya yang boleh dianggap sebagai karya sejarah. Hal ini jelas dilihat pada
perkataan “Hikayat” yang menjadi pangkal judul karya agung ini. Namun demikian,
teks ini diakui sebagai pelopor bentuk novel Melayu moden yang ditampilkan oleh
Syed Syeikh al-Hadi menerusi Hikayat Faridah Hanum (1925).
Karya
kreatif yang memuatkan elemen sejarah dan sastera ini dimulakan dengan
pengenalan dan penubuhan Kesultanan Melayu Melaka yang berpusat di Singapura
sebelum ke Bentan dan Melaka. Susur-galur hikayat ini dipenuhi pelbagai kisah
mengenai kepahlawanan Hang Tuah dan empat bersaudara iaitu Hang Lekir, Hang
Kasturi, Hang Lekiu dan Hang Jebat. Naskhah ini menampilkan Hang Tuah
sebagai seorang legenda yang penuh keramat sama seperti watak Raja Melaka,
Bendahara dan Temenggung yang hidup dari tarikh pembukaan kota Melaka, namun
tidak disebut tentang kematiannya. Unsur realisme magis yang wujud dalam karya
ini mengukuhkan kewujudannya sebagai karya kreatif yang penuh kemewahan estetik
cerita dan bahasa. Hal ini sekali gus menolak usaha memperkecil karya ini
sebagai naskhah tidak logik dan melanggar hukum sejarah.
Epik Melayu Hikayat
Hang Tuah mengisahkan kesetiaan dan ketaatan seorang rakyat terhadap
raja. Ketaatan tidak berbelah bahagi menyebabkan Hang Tuah rela berkorban nyawa
demi memenuhi segala kehendak raja termasuklah menculik Tun Teja yang menjadi
idaman raja. Pengkaji mendapati hikayat ini boleh dibahagikan kepada dua
bahagian iaitu bahagian perlawanan dan bahagian pengembaraan. Wira Hang Tuah
yang berjaya memiliki keris Taming Sari menjadi titik temu dalam naskhah ini.
Satu kisah yang amat
penting dalam hikayat ini ialah pertelingkahan antara Hang Tuah dengan Hang
Jebat akibat perbezaan pendapat. Meskipun Hang Tuah dan Hang Jebat bersahabat
sejak kecil hingga dewasa, keengganan Hang Jebat menerima ketaatan penuh Hang
Tuah hingga mengorbankan nyawa menyebabkan Hang Jebat mengamuk di istana. Rasa
ingin menuntut bela atas kekejaman raja yang menjatuhkan hukuman mati terhadap
Hang Tuah ingin dilunasi Hang Jebat. Akhirnya Hang Jebat mati ditikam Hang
Tuah.
Persahabatan,
kemanusiaan atau kesetiaan terhadap raja menjadi fokus persoalan Hang Tuah dan
Hang Jebat. Tingkah Hang Jebat ialah satu usaha baharu pengarang menampilkan pandangan
terkini pada era itu mengenai polemik ketaatan terhadap raja yang tidak
berperikemanusiaan.
Pengenalan tambahan
oleh sarjana sastera Noriah Mohamed dalam edisi ini membolehkan khalayak
pembaca mendapat satu gambaran yang lebih jelas dalam meneliti, memahami dan
menganalisis karya agung ini. Sekiranya terdapat segelintir masyarakat sastera
yang menanggap bahawa naratif penuh magis lahir dari dunia Barat, maka
pembacaan terhadap karya agung
Hikayat Hang Tuah dalam
Tamadun Melayu ini akan mendedahkan ilmu penulisan kreatif Melayu yang sudah
lama dimesrai realisme magis menerusi watak Hang Tuah berserta segala
keistimewaannya.
Selamat sejahtera kawan sekuliah. Kami suka dengan penjelasan yang diberikan dalam entri ini kerana ringkas dan mudah difahami.
BalasPadam