Isnin, 1 Disember 2014

Nilai Ilmu dan Maklumat Karya Agung

NILAI ILMU  DAN  MAKLUMAT

1. PERDUKUNAN
Menurut Kamus Dewan (2010), dukun membawa maksud orang yang mengubat orang sakit atau memberi ubat cara kampung atau tradisional (dengan membaca jampi serapah dan sebagainya), bomoh, pawang. Manakala perdukunan pula berkaitan dengan pengubatan sama ada secara kampung atau tradisional, yang berkaitan dengan ilmu dukun.

Kepercayaan masyarakat Melayu pada peringkat permulaan adalah berbentuk animisme. Dalam kepercayaan itu mereka menganggap benda-benda mempunyai semangat dan kuasa ghaib. Sehubungan dengan itu, maka wujudlah pemujaan atau penyembahan kepada batu-batu, pokok-pokok, sungai-sungai, gunung-gunung dan fenomena lain. Kuasa ghaib itu tidak boleh dihubungi oleh orang sembarangan, jadi dukun, pawang atau bomoh diperlukan. Usaha ini dianggap berfungsi mengembalikan keadaan seperti asalnya.

2. ILMU PENGASIH
Ilmu pengasih secara umumnya ialah salah satu cara yang digunakan untuk menambat hati seseorang yang kita suka terutamanya kepada golongan wanita. Namun demikian, ilmu ini boleh digunakan oleh golongan lelaki mahupun perempuan asalkan kena pada caranya. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat pula ilmu pengasih ialah pengetahuan tentang jampi, azimat, atau guna-guna untuk mendatangkan atau membangkitkan rasa kasih terhadap individu yang dikehendaki.
            Ilmu pengasih dibuat dalam berbagai jenis, kaedah serta nama. Contohnya minyak dagu, pengasih purnama, pengasih arjuna, pengasih jiwa dan banyak lagi. Ilmu pengasih boleh dilakukan dengan menggunakan minyak pengasih yang diperbuat daripada bahan tertentu, makanan dan minuman, minyak wangi, tenungan mata, hikmah suara, hikmah seri wajah dan sebagainya.

Contohnya dalam Hikayat Hang Tuah:
Demi berpalit gunanya itu maka Tun Teja pun terkejut seperti disentap orang kakinya. Maka Tun Teja pun bangun, seraya berkata, “Rindunya aku akan Mak Inang…” … “Janganlah inangda takut. Mana Tun Tuah itu sekarang?
                                                                        (Hikayat Hang Tuah: 218)
Hang Tuah menggunakan tipu muslihat bagi meyakinkan Tun Teja untuk mengikutnya pulang ke Melaka. Hang Tuah bersepakat dengan inang Tun Teja untuk mencalitkan guna-guna tersebut pada Tun Teja yang sedang tidur. Sebaik sahaja ‘jebat’ itu dicalitkan pada Tun Teja, beliau segera bangun dari tidur dan mencari inangnya. Tun Teja menyatakan bahawa beliau teringin untuk berjumpa dengan Hang Tuah. Ketika itulah Hang Tuah memasang jerat dengan menyatakan bahawa beliau akan berangkat ke Melaka. Tun Teja berasa sedih untuk berpisah dengan Hang Tuah dan menyebabkan beliau bersama-sama Hang Tuah berangkat ke Melaka beserta semua dayang-dayang. Keadaan ini menunjukkan bahawa ilmu pengasih yang digunakan terhadap Tun Teja telah berjaya.

3. ADAT ISTIADAT

Menurut Jelani Harun (2010), adat istiadat Melayu adalah sebahagian daripada asas pengenalan bangsa Melayu. Sejak sekian lama, masyarakat Melayu sangat menekankan agar tahu adat dan memelihara istiadat dalam kehidupan seharian. Orang yang tahu adat akan sentiasa dihormati oleh masyarakat dan tahu pula menghormati masyarakatnya. Adat memberi panduan kepada masyarakat supaya sentiasa berada dalam batas nilai dan norma yang disusun oleh masyarakat. Perhubungan adat istiadat dengan sistem nilai masyarakat membentuk sebahagian daripada ciri utama keperibadian bangsa Melayu yang tahan zaman sehingga ke hari ini.

Dalam Kamus Dewan (2005:8), istilah ‘adat’ dimaksudkan secara umum sebagai ‘peraturan yang sudah diamalkan turun-temurun di dalam sesuatu masyarakat sehingga menjadi hukum dan peraturan yang harus dipatuhi’. Sementara ‘istiadat’ pula membawa maksud ‘peraturan atau cara-cara melakukan sesuatu yang sudah menjadi kebiasaan, adat kebiasaan, resam’. Nilai kebesaran dan kemuliaan adat (custom) amat bergantung kepada bagaimana adat itu diamalkan mengikut istiadat (customs and ceremonial) yang diwarisi dari generasi yang terdahulu. Adat dan istiadat merupakan dua unsur yang saling berkaitan antara satu sama lain. adat tidak akan membawa apa-apa makna sekiranya tidak dilaksanakan mengikut istiadat yang sepatutnya.

Adat istiadat raja-raja Melayu dapatlah dimaknakan secara lebih khusus sebagai nilai, kepercayaan pegangan atau perkara-perkara yang menjadi amalan turun-temurun institusi kesultanan Melayu yang harus dipatuhi oleh masyarakat yang tinggal atau berada di istana. Adat istiadat kesultanan Melayu berperanan sebagai peraturan dan ritual budaya hidup raja-raja dan pembesar yang perlu diamalkan selagi institusi kesultanan itu masih wujud. Dengan ini, maksud adat istiadat raja-raja agak berbeza daripada maksud ‘adat’ dan ‘istiadat’ msyarakat Melayu secara umum yang terdapat dalam Kamus Dewan di atas kerana dalam konteks tradisi raja-raja, adat istiadat adalah sesuatu yang lebih sacral atau magis sifatnya.

Sistem adat berlaku dan bergerak dalam masyarakat sebagai norma perhubungan antara manusia di samping norma perhubungan dengan ekologi dan alam ghaib. Norma perhubungan sesama manusia inilah yang banyak merupakan ‘adat’ dalam tanggapan biasa. Seluruh susunan peraturan yang biasa menjadi asas penilaian dan ukuran kelakuan atau fiil manusia dalam pergaulan dan percampuran adalah adat (Boris Parnickel, 1997:59). Bergantung kepada bidang pergaulan atau interaksi itu, maka adat membahagikan corak perhubungan dan kelakuan itu kepada pelbagai bentuk dan peri. Jika digunakan penggolongan dari adat Minangkabau, maka perhubungan manusia itu terdiri dari ‘adat yang teradat’, ‘adat yang diadatkan’, dan ‘adat istiadat’. Kesemua ini merupakan sebahagian daripada apa yang disebutkan dalam istilah hukum atau perundangan sebagai hukum adat.

Berasaskan pembahagian corak hubungan ini, adat membahagikan masyarakat Melayu itu sebagai bersifat tinggi rendah dengan “setiap orang pada kedudukannya”di samping ada pula tanggapan sama rata “duduk sama rendah”. Antara kedua-dua tanggapan ini, kelihatan ada pertentangan namun kedua-duanya pada satu pihak adalah gambaran dari dua sistem yang berbeza dalam budaya Melayu. Pertama, susunan tinggi rendah adalah sistem kerajaan dan kedua, susunan sama rata adalah sistem rakyat (Boris Parnickel, 1997:60).

Adat juga melahirkan pelbagai konsep budaya bukan sahaja untuk mengikat dan memajukan susunan kerajaan itu, bahkan memberi kelebihan bagi memelihara serta mengekalkan susunan itu sebagai suatu social order. Di sini kita dapat lihat kekudusan dan keagungan kuasa dari alam tabii dan semesta (kosmos), di mana sang raja menjadi perantara dan penghubung antara manusia dengan alam semesta dan ghaib itu. Keagungan kuasa alam itu bukan sekadar didukung oleh raja, bahkan diresapi sehingga raja itu menjadi personifikasi dari kuasa agung alam. Jadilah segala yang berkaitan dengan raja itu sebagai seseorang yang kudus dan suci sehingga kepada jejak kakinya, apatah lagi terhadap diri dan tubuhnya hingga ke kepala.


Rujukan

http://karyagungkami90.blogspot.com/2013/05/nilai-ilmu-dan-maklumat.html

http://karyaagungmelayu13.blogspot.com/2013/05/nilai-ilmu-dan-maklumat.html




Tiada ulasan:

Catat Ulasan