Selasa, 2 Disember 2014

Hikayat Abdullah

 Hikayat Abdullah

Hikayat Abdullah Munsyi merupakan suatu penceritaan yang menggambarkan kehidupan penduduk negeri Melaka. Keadaan ini berlaku dalam tahun 1800 hingga tahun 1840-an. Peristiwa yang berlaku dialami, dilihat dan didengar  sendiri oleh Abdullah Munsyi (Abdullah Bin Abdul Kadir Munsyi).Hikayat Abdullah bukan berupa penulisan sejarah atau politik yang tulin. Buku tersebut tidak membentangkan suatu analisis sejarah yang mengesahkan pergolakan politik dan pemerintahan. Tiada sebarang tarikh yang spesifik atau releven dimuatkan dalam kisah-kisah yang dihuraikan oleh beliau.

            Hikayat Abdullah mengandungi riwayat hidup Abdullah, keturunan, perihal zaman kanak-kanak, zaman persekolahan, serta minat dan latar belakang keluarga beliau. Namun semua itu hanya terkandung pada permulaan hikayat ini sahaja iaitu sebagian kecil sahaja daripada penceritaan Hikayat Abdullah. Bagaimanapun, sesetengah tokoh sastera atau sejarah berpendapat bahawa Hikayat Abdullah boleh diklasifikasikan sebagai sebuah penulisan autobiografi.Sebahagian besar yang dikisahkan di dalam Hikayat Abdullah adalah berkaitan peristiwa harian terutamanya yang berkaitan dengan perhubungan dan pengalaman Abdullah sendiri dengan orang-orang Inggeris, iaitu para pegawai Inggeris yang bekerja di dalam kerajaan atau di luar kerajaan, selain itu, penceritaan ini juga berhubungan tentang penduduk tempatan dengan pemerintah. Oleh sebab itu, terdapat tokoh sastera yang berpendapat kurang tepat jika menyifatkan buku tersebut sebagai autobiografi.

         Dalam Hikayat Abdullah ini juga, Abdullah sering menurunkan pemikiran dan falsafah beliau terhadap beberapa isi. Misalnya berkenaan dengan bahasa Melayu, berkenaan sikap orang Melayu, kepandaian dan teknologi orang Eropah,  dan berkenaan sistem pemerintahan Inggeris yang berteraskan undang-undang bertulis, keadilan bersistem serta teratur. Hikayat ini juga cuba memaparkan sejarah sosial pada zaman Abdullah Munsyi semasa beliau tinggal di Melaka. 

         Pendekatan sejarah sosial ini cuba melihat sejarah bukan dari sudut pergolakan politik, tetapi lebih menumpukan sudut perhubungan dalam masyarakat. Antara aspek yang menjadi fokus ialah corak pergaulan dan adat resam, budaya serta perhubungan antara masyarakat, sistem ekonomi, pendidikan, sebutan dalam bahasa, corak pemikiran serta keupayaan masyarakat dan sebagainya. 
Rangkuman sosial ini juga meliputi perhubungan para penduduk dengan pihak pemerintah dalam sesuatu zaman. Oleh yang demikian, sudut sejarah sosial lebih bersifat neutral, tidak berat sebelah dan tidak prejudis. Sejarah sosial tidak dipengaruhi unsur ‘siapa yang benar, siapa yang salah’ kerana segala peristiwa yang telah berlaku itu, memang benar-benar berlaku, berpadanan dengan suasana persekitaran dan corak pemerintahan serta politik sezaman. Semua ini menjadi sebagian daripada apa yang dikatakan dan diakui sebagai fakta-fakta sejarah.Segala peristiwa yang dilihat, didengar dan dialami oleh beliau, iaitu kisah-kisah harian yang berlaku di Bandar Melaka sepanjang tempoh kira-kira dari tahun 1800 sehingga 1840, cuba dipaparkan di dalam hikayat ini.


Ulasan Hikayat Merong Mahawangsa

Ulasan Hikayat Merong Mahawangsa

Hikayat Merong Mahawangsa Hikayat Merong Mahawangsa merupakan salah satu karya agung yang meninggalkan kesan yang mendalam sehingga ke hari ini. Hikayat ini banyak menceritakan tentang sejarah perkaitan negeri Kedah dengan Siam. Pemerintahan oleh negeri Kedah kepada Siam apabila Raja Seri Mahawangsa (Raja Kedah yang ketiga) mendapat berita kekanda sulungnya Raja Siam mendapat putera. Terus raja Kedah memerintahkan supaya tradisi menghantar bunga emas itu diteruskan hingga ke akhir zaman setiap kali mendapat putera.

 Sebelum kedatangan Islam, agama Hindu atau Buddha telah lama bertapak di dalam kehidupan masyarakat di Kepulauan Melayu.Kedatangan Islam dikatakan telah memantapkan keseluruhan pandangan Semesta Melayu. Kedatangan Islam telah memberi impak yang besar dalam kehidupan masyarakat Melayu termasuklah dari segi budaya, amalan dan kepercayaan.
Nilai-nilai yang menjadi asas kepada tamadun Melayu berteraskan kepada nilai-nilai agama Islam. Kesemua nilai tersebut berkait rapat dengan konsep iman yang terdapat dalam agama Islam. Nilai asas ini boleh dilihat dalam ungkapan-ungkapan Melayu seperti peribahasa, perumpamaan dan pepatah-pepatih.

1.      Kepercayaan kepada Allah S.W.T

Maka sabda Nabi Allah Sulaiman, “Hai segala-gala raja-raja…dalam empat perkara ini hendaklah jangan sekali-kali ditentukan, jikalau tiada dengan dengan janji daripada Tuhan alam. Pertama rezeki, …keempat, perkara perceraian yang sudah sampai waktu, saat harinya, tiada akan dapat hendak menantikan esok harinya, tiadalah boleh, melainkan dengan sekaliannya itu pun dengan janji-Nya jua.”
                                                                                    (Hikayat Merong Mahawangsa, hlm 23)

Pada mulanya burung geroda ingin menghalang rombongan untuk menyatukan puteri raja Benua China dengan anak raja Rom. Burung geroda menyerang bahtera yang membawa anak raja Rom sehingga hancur. Walaupun berbagai dugaan yang menimpa anak raja Rom namun akhirnya mereka dapat disatukan jua. Nabi Allah Sulaiman menasihati para pengikutnya berkenaan empat perkara dalam Islam yang tidak dapat diubah kerana telah ditentukan oleh Allah S.W.T. iaitu rezeki, perkara yang memutuskan rezeki, jodoh dan pertemuan dan perceraian yakni kematian. 

2.Ketaatan kepada raja dan pemimpin. 

Menghormati raja dan pemimpin merupakan perilaku atau perkara yang sudah diamalkan sejak dahulu lagi sehinggalah sekarang. Sehinggakan, sesiapa yang ingkar akan perintah raja akan dikenakan tulah iaitu kehidupan mereka akan sengsara atau mendapat nasib yang buruk. 
Maka sembah Raja Merong Mahawangsa, “ Baiklah, tuanku, barang yang dititahkan itu patik kerjakan, tuanku.”
                                                                                    (Hikayat Merong Mahawangsa, hlm 7)

Raja Merong Mahawangsa telah menerima tugas yang diberikan oleh raja Rom dengan senang hati. Arahan yang diberikan oleh raja Rom agar Raja Merong Mahawangsa pergi ke Benua China untuk menggantikannya dan menyampaikan hasratnya untuk mengahwinankan anakandanya dengan puteri raja Benua China. Hal ini menunjukkan bahawa, sikap Raja Merong Mahawangsa yang menerima tugas yang diberikan membuktikan bahawa beliau merupakan seorang yang taat kepada raja dan pemimpin.
Menghormati ibu bapa dituntut dalam Islam kerana kedudukan, martabat dan kemuliaan ibu bapa sangat istimewa serta tinggi sekali sehinggakan ibu bapa adalah yang kedua perlu dihormati selepas yang Maha Pencipta. Raja Merong Mahapudisat digambarkan sebagai seorang yang taat kepada perintah ayahnya, Raja Merong Mahawangsa untuk menempatkan anak-anaknya di beberapa buah tempat supaya dapat mendirikan kerajaan baru. Perkara ini dapat dilihat pada halaman 37.


Setelah didengar oleh Raja Merong Mahapudisatn sembah menteri itu, lalu ia bertitah kepada menterinya, “Jikalau demikian hendaklah saudara kerahkan segala kaum gergasi himpun sekaliannya dan panggil … , kita beri ia pergi bersama-sama anak kita…
                                                                                     (Hikayat Merong Mahawangsa, hlm 37)

Raja Merong Mahapudisat segera menitahkan pembesarnya untuk menyediakan keperluan serta askar pengiring untuk anakandanya berhijrah ke tempat lain bagi membuka penempatan baru. Raja Merong Mahapudisat dilihat sebagai seorang yang sangat taat kepada perintah ayahandanya. Beliau segera melakukan suruhan ayahandanya setelah diingatkan oleh pembesarnya.

3. Berpegang teguh kepada adat resam
Masyarakat Melayu berpegang teguh kepada adat tradisi seperti dilihat dalam amalan hidup seharian. Orang Melayu amat menjaga adat resam termasuklah pantang-larang dan adat istiadat yang diwarisi dan diamalkan sejak turun-temurun.

“...setelah sudah dibaca surat itu lalu sama duduk sekaliannya itu berjabat tangan. Maka raja China pun menyorong puannya sirih persantapan pada Raja Jin Harman Syah, katanya, “Makanlah sirih hai saudaraku Raja Harman Syah,”serta menyuruh keluar ia itu.”
                                                                                    (Hikayat Merong Mahawangsa, hlm 26)

Sirih dan pinang berperanan penting dalam upacara, adat resam dan budaya semasa, masyarakat Melayu etika itu. Dalam petikan di atas adat makan sirih digunakan ketika menyambut tetamu.

4. Memuliakan yang tua

Maka sahut anak raja Rom itu dengan perlahan-lahan, “ Hai ibuku, bahawa dengan sesungguhnya beta ini manusia juga. Betalah anak raja Rom, hendak pergi kahwin dengan puteri anak raja Benua China dengan beberapa buah bahtera…

                                                                                    (Hikayat Merong Mahawangsa, hlm 16)

Walaupun anak raja Rom dalam keadaan sakit setelah bahteranya di musnahkan oleh burung geroda, beliau masih lagi mampu mengucapkan kata-kata yang bersopan kepada Mak Inang. Malahan beliau membahasakan ibu kepada Mak Inang.

5. Bertimbang rasa
Orang Melayu sentiasa mengutamakan perasaan orang lain dalam pelbagai keadaan.

Maka mak inang tuan puteri itu pun terlalulah belas kasihan hatinya mendengarkan hal anak raja Rom itu lalu ia pun kembali pada tuan puteri persembahkan hal itu sekalianya dengan suka tertawanya.
(Hikayat Merong Mahawangsa, hlm 17)

Kesimpulannya, dalam Hikayat Merong Mahawangsa yang telah dikaji dan diperkenalkan oleh Siti Hawa Haji Salleh ini banyak mempunyai nilai melayu yang tersembunyi. Malahan, setiap penulisan sejarah tradisional Melayu, mereka kebanyakkannya hendak  menggambarkan cara hidup dan pemikiran masyarakat yang melahirkannya dengan jelas. Dalam Hikayat Merong Mahawangsa ini, banyak memperkatakan tentang nilai melayu yang tinggi yang ingin disampaikan kepada pembaca agar pembaca dapat mencontohi nilai tersebut.


Ulasan Hikayat Hang Tuah

Ulasan Hikayat Hang Tuah

Hikayat Hang Tuah merupakan hikayat yang ditulis dalam tulisan Jawi milik Almarhum Tengku Ibrahim ibni Almarhum Tengku Muhammad. Hasil penulisan karya beliau, kini ia menjadi sumber utama bagi penerbitan Hikayat Hang Tuah buat kali pertama oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1964 oleh Kassim Ahmad. Naskhah yang berjaya menambat hati para sarjana pelbagai negara ini bukanlah karya yang boleh dianggap sebagai karya sejarah. Hal ini jelas dilihat pada perkataan “Hikayat” yang menjadi pangkal judul karya agung ini. Namun demikian, teks ini diakui sebagai pelopor bentuk novel Melayu moden yang ditampilkan oleh Syed Syeikh al-Hadi menerusi Hikayat Faridah Hanum (1925).
Karya kreatif yang memuatkan elemen sejarah dan sastera ini dimulakan dengan pengenalan dan penubuhan Kesultanan Melayu Melaka yang berpusat di Singapura sebelum ke Bentan dan Melaka. Susur-galur hikayat ini dipenuhi pelbagai kisah mengenai kepahlawanan Hang Tuah dan empat bersaudara iaitu Hang Lekir, Hang Kasturi, Hang Lekiu dan Hang Jebat.  Naskhah ini menampilkan Hang Tuah sebagai seorang legenda yang penuh keramat sama seperti watak Raja Melaka, Bendahara dan Temenggung yang hidup dari tarikh pembukaan kota Melaka, namun tidak disebut tentang kematiannya. Unsur realisme magis yang wujud dalam karya ini mengukuhkan kewujudannya sebagai karya kreatif yang penuh kemewahan estetik cerita dan bahasa. Hal ini sekali gus menolak usaha memperkecil karya ini sebagai naskhah tidak logik dan melanggar hukum sejarah.
Epik Melayu Hikayat Hang Tuah mengisahkan kesetiaan dan ketaatan seorang rakyat terhadap raja. Ketaatan tidak berbelah bahagi menyebabkan Hang Tuah rela berkorban nyawa demi memenuhi segala kehendak raja termasuklah menculik Tun Teja yang menjadi idaman raja. Pengkaji mendapati hikayat ini boleh dibahagikan kepada dua bahagian iaitu bahagian perlawanan dan bahagian pengembaraan. Wira Hang Tuah yang berjaya memiliki keris Taming Sari menjadi titik temu dalam naskhah ini.
Satu kisah yang amat penting dalam hikayat ini ialah pertelingkahan antara Hang Tuah dengan Hang Jebat akibat perbezaan pendapat. Meskipun Hang Tuah dan Hang Jebat bersahabat sejak kecil hingga dewasa, keengganan Hang Jebat menerima ketaatan penuh Hang Tuah hingga mengorbankan nyawa menyebabkan Hang Jebat mengamuk di istana. Rasa ingin menuntut bela atas kekejaman raja yang menjatuhkan hukuman mati terhadap Hang Tuah ingin dilunasi Hang Jebat. Akhirnya Hang Jebat mati ditikam Hang Tuah.
Persahabatan, kemanusiaan atau kesetiaan terhadap raja menjadi fokus persoalan Hang Tuah dan Hang Jebat. Tingkah Hang Jebat ialah satu usaha baharu pengarang menampilkan pandangan terkini pada era itu mengenai polemik ketaatan terhadap raja yang tidak berperikemanusiaan.

Pengenalan tambahan oleh sarjana sastera Noriah Mohamed dalam edisi ini membolehkan khalayak pembaca mendapat satu gambaran yang lebih jelas dalam meneliti, memahami dan menganalisis karya agung ini. Sekiranya terdapat segelintir masyarakat sastera yang menanggap bahawa naratif penuh magis lahir dari dunia Barat, maka pembacaan terhadap karya agung

Hikayat Hang Tuah dalam Tamadun Melayu ini akan mendedahkan ilmu penulisan kreatif Melayu yang sudah lama dimesrai realisme magis menerusi watak Hang Tuah berserta segala keistimewaannya.





Isnin, 1 Disember 2014

Nilai Ilmu dan Maklumat Karya Agung

NILAI ILMU  DAN  MAKLUMAT

1. PERDUKUNAN
Menurut Kamus Dewan (2010), dukun membawa maksud orang yang mengubat orang sakit atau memberi ubat cara kampung atau tradisional (dengan membaca jampi serapah dan sebagainya), bomoh, pawang. Manakala perdukunan pula berkaitan dengan pengubatan sama ada secara kampung atau tradisional, yang berkaitan dengan ilmu dukun.

Kepercayaan masyarakat Melayu pada peringkat permulaan adalah berbentuk animisme. Dalam kepercayaan itu mereka menganggap benda-benda mempunyai semangat dan kuasa ghaib. Sehubungan dengan itu, maka wujudlah pemujaan atau penyembahan kepada batu-batu, pokok-pokok, sungai-sungai, gunung-gunung dan fenomena lain. Kuasa ghaib itu tidak boleh dihubungi oleh orang sembarangan, jadi dukun, pawang atau bomoh diperlukan. Usaha ini dianggap berfungsi mengembalikan keadaan seperti asalnya.

2. ILMU PENGASIH
Ilmu pengasih secara umumnya ialah salah satu cara yang digunakan untuk menambat hati seseorang yang kita suka terutamanya kepada golongan wanita. Namun demikian, ilmu ini boleh digunakan oleh golongan lelaki mahupun perempuan asalkan kena pada caranya. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat pula ilmu pengasih ialah pengetahuan tentang jampi, azimat, atau guna-guna untuk mendatangkan atau membangkitkan rasa kasih terhadap individu yang dikehendaki.
            Ilmu pengasih dibuat dalam berbagai jenis, kaedah serta nama. Contohnya minyak dagu, pengasih purnama, pengasih arjuna, pengasih jiwa dan banyak lagi. Ilmu pengasih boleh dilakukan dengan menggunakan minyak pengasih yang diperbuat daripada bahan tertentu, makanan dan minuman, minyak wangi, tenungan mata, hikmah suara, hikmah seri wajah dan sebagainya.

Contohnya dalam Hikayat Hang Tuah:
Demi berpalit gunanya itu maka Tun Teja pun terkejut seperti disentap orang kakinya. Maka Tun Teja pun bangun, seraya berkata, “Rindunya aku akan Mak Inang…” … “Janganlah inangda takut. Mana Tun Tuah itu sekarang?
                                                                        (Hikayat Hang Tuah: 218)
Hang Tuah menggunakan tipu muslihat bagi meyakinkan Tun Teja untuk mengikutnya pulang ke Melaka. Hang Tuah bersepakat dengan inang Tun Teja untuk mencalitkan guna-guna tersebut pada Tun Teja yang sedang tidur. Sebaik sahaja ‘jebat’ itu dicalitkan pada Tun Teja, beliau segera bangun dari tidur dan mencari inangnya. Tun Teja menyatakan bahawa beliau teringin untuk berjumpa dengan Hang Tuah. Ketika itulah Hang Tuah memasang jerat dengan menyatakan bahawa beliau akan berangkat ke Melaka. Tun Teja berasa sedih untuk berpisah dengan Hang Tuah dan menyebabkan beliau bersama-sama Hang Tuah berangkat ke Melaka beserta semua dayang-dayang. Keadaan ini menunjukkan bahawa ilmu pengasih yang digunakan terhadap Tun Teja telah berjaya.

3. ADAT ISTIADAT

Menurut Jelani Harun (2010), adat istiadat Melayu adalah sebahagian daripada asas pengenalan bangsa Melayu. Sejak sekian lama, masyarakat Melayu sangat menekankan agar tahu adat dan memelihara istiadat dalam kehidupan seharian. Orang yang tahu adat akan sentiasa dihormati oleh masyarakat dan tahu pula menghormati masyarakatnya. Adat memberi panduan kepada masyarakat supaya sentiasa berada dalam batas nilai dan norma yang disusun oleh masyarakat. Perhubungan adat istiadat dengan sistem nilai masyarakat membentuk sebahagian daripada ciri utama keperibadian bangsa Melayu yang tahan zaman sehingga ke hari ini.

Dalam Kamus Dewan (2005:8), istilah ‘adat’ dimaksudkan secara umum sebagai ‘peraturan yang sudah diamalkan turun-temurun di dalam sesuatu masyarakat sehingga menjadi hukum dan peraturan yang harus dipatuhi’. Sementara ‘istiadat’ pula membawa maksud ‘peraturan atau cara-cara melakukan sesuatu yang sudah menjadi kebiasaan, adat kebiasaan, resam’. Nilai kebesaran dan kemuliaan adat (custom) amat bergantung kepada bagaimana adat itu diamalkan mengikut istiadat (customs and ceremonial) yang diwarisi dari generasi yang terdahulu. Adat dan istiadat merupakan dua unsur yang saling berkaitan antara satu sama lain. adat tidak akan membawa apa-apa makna sekiranya tidak dilaksanakan mengikut istiadat yang sepatutnya.

Adat istiadat raja-raja Melayu dapatlah dimaknakan secara lebih khusus sebagai nilai, kepercayaan pegangan atau perkara-perkara yang menjadi amalan turun-temurun institusi kesultanan Melayu yang harus dipatuhi oleh masyarakat yang tinggal atau berada di istana. Adat istiadat kesultanan Melayu berperanan sebagai peraturan dan ritual budaya hidup raja-raja dan pembesar yang perlu diamalkan selagi institusi kesultanan itu masih wujud. Dengan ini, maksud adat istiadat raja-raja agak berbeza daripada maksud ‘adat’ dan ‘istiadat’ msyarakat Melayu secara umum yang terdapat dalam Kamus Dewan di atas kerana dalam konteks tradisi raja-raja, adat istiadat adalah sesuatu yang lebih sacral atau magis sifatnya.

Sistem adat berlaku dan bergerak dalam masyarakat sebagai norma perhubungan antara manusia di samping norma perhubungan dengan ekologi dan alam ghaib. Norma perhubungan sesama manusia inilah yang banyak merupakan ‘adat’ dalam tanggapan biasa. Seluruh susunan peraturan yang biasa menjadi asas penilaian dan ukuran kelakuan atau fiil manusia dalam pergaulan dan percampuran adalah adat (Boris Parnickel, 1997:59). Bergantung kepada bidang pergaulan atau interaksi itu, maka adat membahagikan corak perhubungan dan kelakuan itu kepada pelbagai bentuk dan peri. Jika digunakan penggolongan dari adat Minangkabau, maka perhubungan manusia itu terdiri dari ‘adat yang teradat’, ‘adat yang diadatkan’, dan ‘adat istiadat’. Kesemua ini merupakan sebahagian daripada apa yang disebutkan dalam istilah hukum atau perundangan sebagai hukum adat.

Berasaskan pembahagian corak hubungan ini, adat membahagikan masyarakat Melayu itu sebagai bersifat tinggi rendah dengan “setiap orang pada kedudukannya”di samping ada pula tanggapan sama rata “duduk sama rendah”. Antara kedua-dua tanggapan ini, kelihatan ada pertentangan namun kedua-duanya pada satu pihak adalah gambaran dari dua sistem yang berbeza dalam budaya Melayu. Pertama, susunan tinggi rendah adalah sistem kerajaan dan kedua, susunan sama rata adalah sistem rakyat (Boris Parnickel, 1997:60).

Adat juga melahirkan pelbagai konsep budaya bukan sahaja untuk mengikat dan memajukan susunan kerajaan itu, bahkan memberi kelebihan bagi memelihara serta mengekalkan susunan itu sebagai suatu social order. Di sini kita dapat lihat kekudusan dan keagungan kuasa dari alam tabii dan semesta (kosmos), di mana sang raja menjadi perantara dan penghubung antara manusia dengan alam semesta dan ghaib itu. Keagungan kuasa alam itu bukan sekadar didukung oleh raja, bahkan diresapi sehingga raja itu menjadi personifikasi dari kuasa agung alam. Jadilah segala yang berkaitan dengan raja itu sebagai seseorang yang kudus dan suci sehingga kepada jejak kakinya, apatah lagi terhadap diri dan tubuhnya hingga ke kepala.


Rujukan

http://karyagungkami90.blogspot.com/2013/05/nilai-ilmu-dan-maklumat.html

http://karyaagungmelayu13.blogspot.com/2013/05/nilai-ilmu-dan-maklumat.html




Hikayat Raja Pasai





Contoh muka depan Hikayat Raja Pasai

Hikayat Raja Pasai terdiri daripada tiga peringkat penceritaan. Peringkat permulaan terdiri daripada kisah yang berkaitan dengan Raja Ahmad dan Raja Mohamad, Puteri Buluh Betung dan Merah Gajah, Merah Silu dan Merah Hasum, pembukaan Samudera, wasiat Nabi Muhammad, pengalaman Merah Silu melalui mimpi, pelaksanaan wasiat Nabi Muhammad, perkahwinan Malik al-Saleh (Merah Silu) dengan anak gundik Raja Perlak dan pembukaan Pasai. 


Peringkat perkembangan bermula dengan wasiat Malik al-Saleh kepada Said Semanyam dan Said Ali serta kepada kedua-dua cucunya, Sultan Malik al-Mansur dan Sultan Malik al-Mahmud. Peristiwa seterusnya ialah konflik antara Sultan Malik al-Mahmud dengan Sultan Malik al-Mansur, wasiat Malik al-Mahmud kepada Sultan Ahmad, kisah Sultan Ahmad yang ingin mengahwini anaknya sendiri dan kisah kepahlawanan dan kematian Tun Beraim Bapa. 


Peringkat peleraian pula terdiri daripada kisah Puteri Gemerencang, pembunuhan Tun Abdul Jalil, penyesalan Sultan Ahmad, serangan Majapahit hingga Pasai jatuh dan kekalahan Majapahit di Pulau Perca.


Rujukan


Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu

Video di bawah memerihalkan serba sedikit tentang Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu. Video tersebut dapat memberi gambaran awal tentang karya agung ini. 


Sumber: Youtube. 
Terima Kasih

Ahad, 30 November 2014

Bahasa Melayu Klasik- Hikayat Abdullah

1.0 PENDAHULUAN
1.1 Pengenalan

Zaman pengunaan bahasa Melayu Klasik melingkungi zaman antara abad ke – 14 hingga abad ke – 19 Masihi. Zaman permulaannya ditandai dengan prasasti Terengganu ( Batu Besurat Terengganu ) yang bertarikh pada 702 H. bersamaan dengan tahun 1303 M. Zaman bahasa Melayu klasik menempuh kemajuan yang pesat berbanding dengan zaman bahasa Melayu kuno. Pada masa ini perkembangan ilmu pengetahuan dan kegiatan intelektual dalam bahasa Melayu mencapai tahap yang tinggi. Pada akhir abad yang ke-16 M, umpamanya, sudah lahir hasil-hasil karya falsafah tasawwuf dalam bahasa Melayu. Bahkan pada awal abad ilmu-ilmu agama yang lain khususnya seperti polemik yang dilakukan oleh Hamzah Fansuri, Syamsudin Pasai, Nurudin Al-Raniri dan Abdul Rauf Singkel. Kelahiran hasil-hasil karya yang bersifat intelektual ini berpunca daripada pengaruh Islam yang meresap ke dalam bahasa dan budaya Melayu.

Banyak hasil karya yang berbahasa Melayu yang bersifat falsafah dan agama setelah wujud pengaruh Islam. Dari sejak itu perkembangan ilmu pengetahuan terutama tentang agama dan pentadbiran begitu pesat berkembang dalam bahasa Melayu. Lantara itulah maka bahasa Melayu telah menjadi bahasa utama di Asia Tenggara untuk urusan pengembangan agama Islam bahkan ia menjadi salah satu di antara enam bahasa dunia Islam iaitu Arab, Farsi, Turki, Inggeris dan Hindi.

1.2 Definisi Bahasa Melayu Klasik Mengikut Pendapat Sarjana

Istilah Klasik merangkumi makna lama, tradisional dan klasik itu sendiri. Menurut Holman :
…. Belonging to established tradition; used especially to designate the Literature or culture of Greece and Roman or later literature which partakes of its qualities … it may mean literature that has gained a lasting recognition, or it may mean literature that exhibits the qualities of classicism. When it is used to describe the attributes of a literary work it usually impies objectivity in the choice and handling of the theme, simplicity of style, clarity, restraint, and formal structure.
      ( Holman, 1972: 99 )
1.3 Ciri-ciri Bahasa Melayu Klasik

Terdapat beberapa ciri khusus bahasa Melayu klasik. Antaranya adalah seperti berikut ;
 Menggunakan tulisan Jawi. Tulisan atau aksara ini dipinjam
daripada bahasa Arab, kemudian ditambah dengan huruf baru seperti pa ( ف), nga ( غ ), ga ( ک ), nya ( ث ) dan ca ( چ ).

 Bahasa Melayu klasik telah menerima beberapa fonem Arab : kh (  ) seperti Khamis, Z (  ) seperti pada zakat, Sy (  ) seperti pada syarat dan lain-lain.

 Bahasa Melayu klasik telah menerima pelbagai jenis kosa kata Arab dan Parsi dalam pelbagai bidang bahasa seperti dalam bidang ilmu kegamaan, undang-undang, kesusasteraan, pemerintahan dan pentadbiran, perubatan, falsafah, tasawuf dan kata-kata umum unstuk bahasa umum.

 Sebelum wujud sistem ejaan Jawi pengaruh Melayu, sistem ejaan Arab yang digunakan itu dengan menggunakan tanda-tanda baris. Contohnya seperti;
( maka ) ﻣَﮓ
( dia ) ِﺩﻱَ

Kemudian tanda-tanda baris itu dihilangkan menjadi;
( maka ) ﻣﮏ
)dia ) ﺪﻱ

Setelah itu baru timbul sistem ejaan pengaruh Melayu. Sistem ini mengandungi dua tahap. Tahap pertama dengan membubuh huruf saksi ( vokal) dan tahap kedua dengan membubuh huruf saksi ( vokal ) pada kedua-dua suku kata.

 Frasa dan ayat pengaruh Arab terutamanya dalam kitab-kitab klasik Melayu seperti frasa “ Ketahuilah olehmu” atau pada ayat “ Sunat berbuka atas tamar” dan lain-lain. Frasa dan ayat bentuk ini wujud hasil daripada terjemahan harfih daripada teks-teks bahasa Arab.

 Unsur-unsur falsafah Islam wujud dalam beberapa banyak tulisan Melayu seperti dalam bidang Ilmu Kalam, Tasawuf, Ilmu Aqa’id al-Iman dan lain-lain. Ini berbeza dengn bahasa Melayu zaman kuno atau Hindu.

 Beberapa genre sastera Islam mula meresap ke dalam bahasa Melayu seperti syair, nazam, ruba’i, tasmil, ibarat dan lain-lain.

 Pengaruh kesusteraan Islam terutamanya dari Arab dan Farsi banyak didapati dalam zaman bahasa Melayu klasik seperti cerita-cerita Nabi dan para sahabat, sastera agama, sastera sejarah, sastera undang-undang dan pemerintahan dan lain-lain.

1.5 Peranan Bahasa Melayu Klasik

Selain daripada mempunyai ciri-ciri tertentu seperti di atas bahasa Melayu Klasik juga memberi sumbagan pada zaman kegemilangannya. Antaranya ialah;

i. Kebudayaan
- untuk memperkembangkan sesuatu kebudayaan yang
dimiliki oleh sesuatu bangsa.
ii. Peranan Kemasyarakatan
- sebagai lambang jati diri bangsa dan sebagai alat penyatuan sesuatu bangsa atau kaum.
iii. Pendidikan
- sebagai alat untuk pengajaran, panduan dan tatacara.
- sebagai alat untuk menyebarkan ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang agama, kesusesteraan dan perundangan.

2.0 KARYA YANG DIPILIH DAN BIODATA PENULISNYA.
2.1 Hikayat Abdullah

Abdullah Bin Abdul Kadir Munsyi dapat dianggap sebagai bapa kesusasteraan Melayu moden, berdasarkan karya-karyanya yang terkenal, iaitu Syair Singapura Terbakar (1830), Kisah Pelayaran Abdullah, Hikayat Abdullah (1849), Dewa-ul-kulub (1883), dan Kisah Pelayaran Abdullah ke Judah (1920). Beliau membawa perubahan dalam tema, plot, latar cerita, dan sudut pandangan, yang ketara perbezaannya dengan karya-karya sastera sebelumnya, walaupun masih dalam gaya bahasa lama.

Abdullah dilahirkan pada tahun 1796 di kampong Pali, Melaka daripada keluarga India Muslim keturunan Arab. Sejak kecil lagi “ Munsyi” ini memperlihatkan keistimewaannya sebagai pelajar yang bijak dan gigih mencari ilmu. Beliau mempunyai minat yang mendalam mempelajari pelbagai bahasa selain bahasa Melayu. Beliau dilantik menjadi jurutulis dan penterjemah kepada Raffles dan pembesar-pembesar Inggeris, menyebabkan hubungannya begitu rapat dan mesra dengan orang-orang Inggeris. Keadaan ini mempengaruhi pemikiran dan tindakannya.

Abdullah seorang pemerhati yang teliti terhadap keadaan zamannya. Kritikannya kepada orang Melayu melalui karya-karyanya terasa sangat pedas. Beliau begitu lantang mengkritik sikap raja-raja Melayu. Beliau mencuba membuka pemikiran orang Melayu ke arah kebaikan dan kemajuan secara membandingkannya dengan orang Inggeris. Sikap berat sebelah inilah yang sering dipersoalkan dalam perbincangan mengenai ketokohannya.

Abdullah Munsyi meninggal dunia di Jeddah pada tahun 1854 dalam perjalanannya menunai fardhu haji.

3.0 ANALISIS KANDUNGAN KARYA [ASPEK BUDAYA DAN KEMASYARAKATAN

Karangan Abdullah jauh berbeza dengan karangan orang yang terdahulu daripadanya atau sezaman dengannya seperti Thufata’n-Nafis (1865) karangan Raja Ali Haji yang berkisar tentang raja-raja.
Pendeta Za’ba dalam karangannya “ Moden Development” menyatakan bahawa “ kesusasteraan Melayu moden bermula dengan Abdullah bin Abdul Kadir” ( Hassan, 1988:236). Kenyataan ini didasarkan daripada karya-karya Abdullah yang tidak lagi menulis tentang dongeng, alam ghaib dan ajaib. Gagasan utama dalam karya-karyanya ditimba daripada pengamatan, pengalaman dan pengetahuan. Dengan pemikiran yang kritis semuanya diolah hingga menjadi karya autobiografi yang penting. Karyanya dicipta sendiri untuk dinikmati oleh masyarakat. Ini adalah ciri sastera baru yang bersifat individualistik.
Dalam karya autobiografinya memang terlihat ciri-ciri sastera moden seperti intelek, emosi, imiginasi, dan teknik. Sehubungan dengan itu Zuber Usman (1966:9) menyebut;

“Abdullah ialah pemgarang Melayu yang mula-mula keluar dari kebiasaan lama, yang melanggar dan memetahkan tradisi yang sudah turun-temurun, yang memelingkan penanya dari menceritakan kisah-kisah yang ghaib-ghaib atau khayal ke dunia kenyataan.”

Sesebuah karya bukan hanya sebagai bahan hiburan, tetapi juga sebagai bahan untuk pembaca merenung dan memikir serta mendapatkan panduan dan pengetahuan daripadanya. Pemikiran yang menyentuh soal-soal masyarakat, agama, politik, ekonomi dan moral ditimbulkan dan karya-karya Abdullah Munsyi banyak menyentuh hal-hal tersebut. Contohnya pada halaman 119 Hikayat Abdullah yang menjelaskan sikap masyarakat Melayu terhadap bahasa Inggeris pada waktu itu;

Bermula maka adalah telah berpuluh-puluh kali aku ini disuruhkan oleh tuan-tuan itu memanggil dan mencari anak-anak Melayu, supaya boleh ia belajar dan mengetahui membaca dan menulis, baik bahasa Melayu baik bahasa Inggeris, maka oleh sebab bodohnya dan sangka mereka itu nanti dimasukkan Inggeris, tiadalah ia mau datang, kerana fikiran mereka itu, dengan kekerasan nanti ditangkap dimasukkan Inggeris: maka beberapa kali sudah aku ingatkan akan mereka itu, serta memberitahu aku mereka itu, “Bahawa sekali-kali tiada Inggeris itu hendak memasukkan seseorang kedalam agamanya kalau yang empunya diri tiada suka; melainkan supaya kamu boleh belajar dan mengetahui bahasa kamu dan bahasa Inggeris kelak, nanti dibelakang bnyak gunanya.”

Selain daripada contoh diatas dalam buku yang sama halaman 348, Abdullah membuat kesimpulan bahawa adat yang diamalkan orang Melayu dikatakan tidak cerdik dan tidak menambah ilmu kerana tidak mahu membuang karut-marut.
Berbeza dengan adat-adat yang diamalkan orang-orang bukan Melayu yang ditemui semasa belayar ke Judah. Dia hanya menyebut adapt itu tanpa memberi sebarang kritikan. Seperti kebiasaan yang dilihatnya (Kassim, (peny.) 1960):

Maka adalah yang pertama menjadikan ajaib kepadaku sebab melihatkan adap orang dalam negeri itu, tiadalah menjadi aib bagi mereka itu segala perampuan beratus-ratus dan beribu-ribu semuanya bertelanjang, yakni dengan tiada memakai baju sekali-kali, kuntal-kantil sahaja susunya, baik yang muda yang tua; iaitu semuanya perampuan Hindu.

Dia tidak mengkritik perbuatan tersebut, hanya menceritakan apa yang dilihatnya. Dalam buku yang sama pada halaman 141 pula disebutkan;

Maka adalah adat negeri itu terlalu aib, iaitu tiada berjamban; semua orang pergi buang air ketepi laut berbnjar-banjar duduk dengan tiada bermalu seorang dengan seorang.


Abdullah membuat sedikit ulasan bahawa adat ini sesuatu yang aib dan memalukan. Walaupun persoalan mengutuk dan menganggap bodoh adat dan kepercayaan orang Melayu tidak banyak dikemukakan tetapi ia memberi kesan yang jelas kepada pembaca.

Tidak dapat dinafikan bahawa kemajuan-kemajuan barat telah meresap ke dalam diri Abdullah lantas membuatkan dia mencela budaya Melayu. Oleh itu dalam karyanya perbandingan antara timur dan barat adalah menjadi persoalan yang penting dan secara tidak lansung mendedahkan kemunduran-kemunduran orang-orang Melayu, antara lain disebabkan oleh kepercayaan dan budaya yang terdapat dalam masyarakat Melayu itu sendiri.

4.0 ASPEK BAHASA DAN TULISAN
i. Jenis Aksara

Dalam memperkatakan bahasa Melayu Klasik ini tidak dapat seseorang itu mengimbas kembali teks Melayu lama yang tertulis dalam bentuk puisi, prosa, surat perdagangan, surat perjanjian, batu bersurat, batu nisan dan sebagainya. Dalam melihat pada sudut aksara dan sistem ejaan yang digunakan dalam penulisan karya Hikayat Abdullah pengkaji hanya dapat berpegang kepada ciri-ciri khusus bahasa Melayu klasik iaitu menggunakan tulisan Jawi. Tulisan atau aksara ini dipinjam daripada bahasa Arab, kemudian ditambah dengan huruf baru seperti pa ( ف), nga ( غ ), ga ( ک ), nya ( ث ) dan ca ( چ ).Ini beerti tulisan tersebut mesih dalam bentuk asalnya dengan menggunakan tulisan dan sistem ejaan Jawi. Berikut adalah beberapa contoh aksara yang digunakan dalam penulisan karya Hikayat Abdullah.

ii. Sistem Ejaan

Sebelum wujud sistem ejaan Jawi pengaruh Melayu, sistem ejaan Arab yang digunakan itu dengan menggunakan tanda-tanda baris. Contohnya seperti;
( maka) ﻣَﮓ
( dia ) ِﺩﻱَ
Kemudian tanda-tanda baris itu dihilangkan menjadi;
( maka ) ﻣﮏ
)dia ) ﺪﻱ
Setelah itu baru timbul sistem ejaan pengaruh Melayu. Sistem ini mengandungi dua tahap. Tahap pertama dengan membubuh huruf saksi ( vokal) dan tahap kedua dengan membubuh huruf saksi ( vokal ) pada kedua-dua suku kata.
Daripada beberapa contoh aksara asal Hikayat Abdullah diatas dapat dilihat beliau tidak menggunkan tanda-tanda baris pada tulisannya.

4.1 Aspek bahasa
i. Morfologi

Morfologi adalah bidang yang mengkaji proses pembentukan kata-kata dalam sesuatu bahasa. Ia meliputi penggolongan perkataan atau kata-kata dalam sesuatu bahasa. Sebagai contohnya dari aspek imbuhan, penulisan karya Hikayat Abdullah telahpun menggunakan imbukan meN-. Hal ini dapat diperhatihan pada petikan karya Hikayat Abdullah seperti dibawah;

Contoh 1

Maka jawabnya, “ Tuan, sahayalah cakap membawa jalan kepada susunan itu, akan tetapi tuan sekarang ada penuh kapal-kapal Inggeris pada segenap jajahan tanah Jawa itu menjaga, tiadalah boleh masuk dan keluar barang perahu atau kapal keci; dan lagi pula Holanda itu pun terlalu keras kawalnya, serta dengan cemburunya.”
( halaman 69)

Contoh 2

Bermula maka adalah telah berpuluh-puluh kali aku ini disuruhkan oleh tuan-tuan itu memanggil dan mencari anak-anak Melayu, supaya boleh ia belajar dan mengetahui membaca dan menulis, baik bahasa Melayu baik bahasa Inggeris, maka oleh sebab bodohnya dan sangka mereka itu nanti dimasukkan Inggeris, tiadalah ia mau datang, kerana fikiran mereka itu, dengan kekerasan nanti ditangkap dimasukkan Inggeris: maka beberapa kali sudah aku ingatkan akan mereka itu, serta memberitahu aku mereka itu, “Bahawa sekali-kali tiada Inggeris itu hendak memasukkan seseorang kedalam agamanya kalau yang empunya diri tiada suka; melainkan supaya kamu boleh belajar dan mengetahui bahasa kamu dan bahasa Inggeris kelak, nanti dibelakang bnyak gunanya.” (Halaman 119)

Selain daripada aspek penggunaan imbuhan meN-, banyak lagi aspek morfologi yang terdapat dalam penulisan karya Hikayat Abdullah.

ii. Sintaksis

Daripada pemerhatian yang dibuat adakalanya Abdullah gemar menggunakan ayat yang panjang-panjang dan menyulitkan pembaca untuk memahaminya. Ayat-ayat daripada hikayatnya ini boleh dijadikan contoh;

Contoh 1

Maka jikalau sekiranya tiada suluh itu tanganku, dan cermin mata itu kupakai, nescaya banyak kali sudah aku terperosok ke dalam limbah dan parit yang penuh pada tiap-tiap lorong dan jalan; seperti kecuali kebanyakan kelakuan orang yang tiada memegang suluh itu terperosok ia kesana ke mari, jatuh bangun coreng-coreng berlumur dengan Lumpur dan orang, dan patah riuk kaki tangannya di hadapanku.
( halaman 16)

Contoh 2

Maka jawabnya, “ Tuan, sahayalah cakap membawa jalan kepada susunan itu, akan tetapi tuan sekarang ada penuh kapal-kapal Inggeris pada segenap jajahan tanah Jawa itu menjaga, tiadalah boleh masuk dan keluar barang perahu atau kapal keci; dan lagi pula Holanda itu pun terlalu keras kawalnya, serta dengan cemburunya.”
( halaman 69)

Ayat-ayat yang panjang begini mengganggu pemahaman pembaca kerana ada watunya pembaca terpaksa mengulangi pembacaan. Jelas dari segi bahasa (ayat) Abdullah masih lagi tidak membawa apa-apa pembaharuan.

iii. Semantik

Secara umum kita berpendapat bahawa makna sesuatu bahasa akan mudah difahami apabila dalam bentuk ayat. Andaian ini tidak selamanya tepat kerana kehadiran ayat yang dibina daripada kata dan kelompok kata, dan tidak semuanya hanya memiliki satu makna. Dalam bahasa Melayu seringkali apa yang kita ucapkan atau tuliskan tidak serupa dengan pa yang dimaksudkan.

Dapat diperhatikan dalam karya Hikayat Abdullah maksud atau pun perkara yang disampaikan melalui makna tersurat. Makna tersurat yang dimaksudkan ialah makna yang diperolehi semata-mata daripada makna yang tertulis atau makna yang diujarkan sahaja. Dimana dalam penulisannya banyak menyatakan terus atau secara lansung apa yang hendak disampaikan kepada masyarakat Melayu ketika itu. Umpamanya ;

Bermula maka adalah telah berpuluh-puluh kali aku ini disuruhkan oleh tuan-tuan itu memanggil dan mencari anak-anak Melayu, supaya boleh ia belajar dan mengetahui membaca dan menulis, baik bahasa Melayu baik bahasa Inggeris, maka oleh sebab bodohnya dan sangka mereka itu nanti dimasukkan Inggeris, tiadalah ia mau datang, kerana fikiran mereka itu, dengan kekerasan nanti ditangkap dimasukkan Inggeris: maka beberapa kali sudah aku ingatkan akan mereka itu, serta memberitahu aku mereka itu, “Bahawa sekali-kali tiada Inggeris itu hendak memasukkan seseorang kedalam agamanya kalau yang empunya diri tiada suka; melainkan supaya kamu boleh belajar dan mengetahui bahasa kamu dan bahasa Inggeris kelak, nanti dibelakang bnyak gunanya.”

Dari contoh diatas perkara pokok disampaikan secara terus tanpa menggunakan sebarang simbolik ataupun kiasan.

iv. Kosa Kata
a) Kata asli

Sebagai karya di peringkat awal, Abdullah masih tidak dapat melepaskan penggunaan kata asli dalam tulisannya. Bukan sahaja bahasa yang digunakan itu bahasa lama tetapi struktur ayatnya juga masih seperti cerita hikayat. Sebagai contoh dalam Hikayat Abdullah pada halaman 9 dan 10;

Maka beberapa lamanya dalam hal yang sedemikian, maka datanglah seorang orang Arab Syaid yang bernama Habib Abdullah, bangsanya Haddad, maka adalah ia itu aulia, mak sangatlah dipermulia orang akan dia dalam Melaka; maka segala laki-laki dan perampuan pun pergilah berguru kepadanya darihal perkara agama Islam. Maka bondaku juga tiada pergi, sentiasa duduk menangis terkenangkan anak-anaknya yang mati itu. Maka adalah rumahku itu berhadapan dengan rumah tempat tuan itu tinggal; maka disuruhnya panggil bapaku, diperiksanya akan hal bondaku itu duduk menangis-nangis. Maka oleh bapaku segala hal anak-anaknya habis mati itu; maka kata tuan itu, “ Baiklah, pergi engkau katakan kepada isterimu janganlah ia menangis, insya-Allah nanti diberi Allah kepadanya seorang anak laki-laki; maka apabila beranak kelak, engkau namakan dengan namaku.” Maka pulanglah bapaku serta mengatakan kepada bondaku akan segala perkataan tuan itu; maka bondaku pun berhentilah daripada menangis dan dukacita.

Struktur ayat lama ini dikutkan lagi dengan penggunan kata-kata asli seperti ‘maka’, ‘beberapa lamanya’, ‘maka adalah’, ‘akan dia’ dan ‘maka apabila. Dalam Hikayat Abdullah banyak terdapat kata nasihat. Hal ini menunjukkan bahwa Abdullah masih terikut-ikut struktur penulisan sastera lama. Begitu juga apabila dia menggunakan pentun dan syair dalam karyanya. Penggunaan perkataan hikayat itu sendiri membayangkan bahawa Abdullah masih cenderung meneruskan tradisi penulisan lama.

b) Kata pinjaman

Daripada penelitian yang dibuat dalam penghasilan karya-karya Abdullah Munsyi banyak menggunakan kata pinjaman Bahasa Inggeris, misalnya dalam Hikayat Abdullah digunakan diksi character (halaman 5), enjineer (halaman 6), secretaries governments (halaman 6), electricity (halaman 115), arithmetic (halaman 117), commission (halaman 165).

Selain daripada penggunaan kata pinjaman Bahasa Inggeris terdapat juga penggunan kata pinjaman bahasa Arab dalam penulisan karyanya, misalnya perkataan syaaban (halaman 1), khatib ( halaman 4 ), sayid (halaman 35) dan banyak lagi.

5.0 Kesimpulan
5.1` Penutup

Abdullah Munsyi menggunakan bentuk laporan dalam membina karya-karyanya. Dia melaporkan apa saja yang terjadi pada dirinya, yang dilihat dan dialami. Walau bagaimanpun, dia bukanlah seperti wartawan kerana dia juga mengemukakan cadangan dan nasihat dalam karya-karyanya. Bentuk penulisan kritikan juga terlihat dalam karyanya terutama kritik terhadap raja-raja Melayu. Seperti karya cereka, Abdullah juga menggunakan dialog dalam penceritaan di samping diksi watak-watak bagi menyampaikan maksud atau persoalan yang dikemukakan.

Diteliti karya-karya Abdullah Munsyi, dapat dibuat kesimpulan bahawa Abdullah telah jauh meninggalkan bentuk penulisan sastera lama. Ini tergambar pada persoalan atau tema yang dikemukakan, pada plot cerita, perwatakan, latar cerita dan sudut pandangan. Hanya gaya bahasa yang masih kekal seperti gaya bahasa sastera lama. Buah tangannya ini boleh dijadikan bahan rujukan dan bahan dokumentasi yang penting.