Ahad, 30 November 2014

Artikel 4

 Artikel “Bahasa Melayu Hak Rakyat Malaysia
Oleh:  Zaiton Darois
Sumber: Dewan Masyarakat, September 2010

Artikel ini membincangkan tentang keunggulan karya agung yang menyebabkan penggunaan bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa rakyat Malaysia. Bahasa Melayu yang memainkan peranan dalam karya agung Melayu iaitu karya agung Tun Sri Lanang menerusi Sejarah Melayu yang menggambarkan kegemilangan dan kejatuhan Kerajaan Melayu Melaka. Dalam karya tersebut jelas terbukti bahawa bahasa Melayu menjadi alat perhubungan antara masyarakat berbilang bangsa sejak zaman dahulu lagi. Penulis mengungkapkan bahawa “bahasa merupakan nilai dan budaya bangsa”. Hal ini jelaslah kelihatan dalam penggunaan bahasa Melayu dalam karya-karya agung terutamanya dalam hikayat-hikayat di mana menjadi lingua franca pada masa itu dan juga menjadi bahasa ibunda yng mempunyai hubungan emosional dengan penutur dan rakyat jelatanya. Penulis juga menyatakan bahawa bahasa Melayu digunakan dalam hikayat-hikayat karya agung atas beberapa tujuan antaranya menceritakan semangat perjuangan seperti isu ketidakadilan sosial dan kemiskinan, hubungan antara raja dan rakyat jelata dan sebagainya. Bukan sahaja disampaikan melalui karya-karya agung malahan, nukilan seperti novel, cerpen, puisi juga digunakan sebagai pengantar.                                                                    Dengan ini jelaslah terbukti bahawa sebagaimana karya agung merupakan khazanah atau harta sesebuah bangsa bagi mengangkat tamadunnya, begitulah dengan bahasa Melayu juga. Bahasa Melayu merupakan bahasa hak milik bersama rakyat Malaysia. Pembentukan sesebuah negara adalah melalui bahasa dan budayanya sendiri.

Artikel 3

Artikel “Hang Tuah dalam Tamadun Melayu
Sumber: Dewan Sastera, April 2012

Artikel ini membincangkan Hikayat Hang Tuah dalam Tamadun Melayu. Penulis cuba mengulaskan Hikayat Hang Tuah dalam ketamadunan Melayu. Manuskrip Hikayat Hang Tuah yang bertulisan Jawi merupakan milik Almarhum Tengku Ibrahim Ibni Almarhum Tengku Muhammad menjadi sumber utama bagi penerbitan Hikayat Hang Tuah yang pertama oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1964 oleh Kassim Ahmad. Hikayat ini berperanan sebagai karya sastera kerana berjaya menambat hati para sarjana dari pelbagai negara. Hal ini juga jelas kelihatan pada perkataan “Hikayat” yang menjadi pangkal judul karya agung ini.                                                                                    Penulis cuba mengulaskan serba sedikit mengenai Hikayat Hang Tuah ini di mana elemen sejarah yang terkandung di dalamnya dimulakan dengan pengenalan dan penubuhan Kesultanan Melayu Melaka yang berpusat di Singapura sebelum ke Bentan dan ke Melaka. Perjalanan cerita ini dipenuhi dengan pelbagai kisah mengenai kepahlawanan Hang Tuah dan empat saudaranya iaitu Hang Lekir, Hang Kasturi, Hang Lekiu dan Hang Jebat. Hikayat Hang Tuah ini menceritakan kesetiaan dan ketaatan seorang rakyat kepada raja. Ketaatan Hang Tuah amat terserlah apabila dia sanggup berkorban nyawa demi memenuhi segala kehendak raja termasuklah menculik Tun Teja yang menjadi idaman raja. Penulis mendapati bahawa hikayat ini dapat dibahagikan kepada dua bahagian iaitu bahagian perlawanan dan bahagian pengembaraan.                                                                                                       Antara kisah yang penting dalam hikayat ini adalah pertelingkahan yang berlaku antara Hang Tuah dengan Hang Jebat akibat daripada wujudnya sedikit perbezaan pendapat. Meskipun Hang Tuah dan Hang Jebat merupakan sahabat yang baik sejak kecil hingga dewasa namun keengganan Hang Jebat untuk menerima ketaatan Hang Tuah sehingga mengorbankan nyawa telah menyebabkan Hang Jebat mengamuk di istana. Rasa ingin menuntut bela atas kekejaman raja yang menjatuhkan hukuman mati terhadap Hang Tuah ingin dilunasi Hang Jebat. Akhirnya Hang Jebat telah mati ditikam oleh Hang Tuah. Kesimpulan yang boleh dibuat daripada artikel ini adalah persahabatan, kemanusiaan atau kesetiaan terhadap raja menjadi persoalan yang utama antara Hang Tuah dan Hang Jebat. Tindakan Hang Jebat merupakan satu usaha di mana pengarang cuba menampilkan pandangan terkini mengenai polemik ketaatan terhadap raja yang tidak kemanusiaan. Penulis cuba untuk membolehkan khalayak pembaca untuk mendapat gambaran yang lebih jelas dalam memahami dan menganalisi karya agung ini di samping mengaplikasinya dalam ketamadunan sendiri.

Artikel 2

 Artikel “Karya Agung
Oleh: Noriah Mohamed
Sumber: Dewan Sastera, Disember 2011

Dalam artikel yang dipetik daripada Dewan Sastera ini, penulis membincangkan mengenai karya agung. Menurut penulis, karya agung menggambarkan kehebatan sesuatu bangsa kerana penulisan atau penghasilan sesuatu karya agung dapat dikenalpasti melalui betuk tulisannya di mana ia mengambarkan keintelektualan sesuatu. Bukan itu sahaja, penulis juga mengutarakan bahawa karya agung dapat membentuk jati diri sesuatu bangsa sehingga dapat memantulkan kembali ketamadunan bangsa tersebut pada bila-bila masa sahaja, sebagaimana kita dapat mengenali ketamadunan lain seperti tamadun Greek, Yunani, Cina, India dan Mesir.
 Oleh itu, dapatlah dikatakan bahawa karya agung menjadi khazanah kekayaan fikiran sesuatu bangsa dan ia juga menjadi rujukan serta landasan bagi sesuatu bangsa itu untuk mengorak langkah kemajuan yang mahu diterokainya. Penulis artikel ini menekankan kepentingan karya agung di mana ia menjadi harta dan khazanah sesuatu bangsa yang membolehkan tamadunnya dikenali buat selama-lamanya.