Sabtu, 18 Oktober 2014

Abdullah Munshi

 Latar Belakang


Nama sebenar Munsyi Abdullah ialah Abdullah bin Abdul Kadir. Beliau dilahirkan pada 1796 di Kampung Masjid atau Kampung Masjid Keling yang juga dikenali sebagai Kampung Pali pada waktu itu. Abdullah mempunyai empat orang adik-beradik tetapi ketiga-tiga abangnya telah meninggal dunia ketika kecil berusia antara satu hingga tiga tahun. Ibu Abdullah selalu menangis dan berasa susah hati sehinggakan sampai ke pengetahuan seorang guru agama yang bernama Habib Abdullah. Beliau menasihati ibu Abdullah supaya berhenti menangis dan jika dikurniakan anak lelaki lagi, maka diberikan nama Abdullah bagi mengambil berkat daripada nama beliau.
Abdullah menyatakan asal usul keturunannya bermula daripada seorang pemuda Arab Yaman, suku Uthmani yang bernama Syeikh Abdul Kadir. Syeikh Abdul Kadir telah mengembara dari Tanah Arab ke Bandar Nagor di India. Beliau bekerja sebagai guru agama dan bahasa. Beliau telah berkahwin dengan gadis tempatan dan menetap di tanah asing itu. Mereka telah dikurniakan empat orang anak dan salah seorang merupakan datuk Abdullah yang bernama Muhammad Ibrahim. Muhammad Ibrahim telah mengembara sehingga ke Melaka  apabila Syeikh Abdul Kadir meninggal dunia. Beliau juga telah berkahwin di Melaka dengan gadis  bernama Peri Achi mungkin berketurunan India-Islam dan mendapat anak yang salah seorangnya ialah ayah Abdullah, iaitu Abdul Kadir sempena nama ayah beliau.
Abdul Kadir sangat tegas dengan anaknya terutama dalam pelajaran. Setiap malam bapa Abdullah akan mendera beliau supaya menyambung pelajaran atau membuat kerja rumah. Hasil didikan itu menyebabkan Abdullah menjadi pintar dan kreatif berbanding kanak-kanak lain. Abdullah dikatakan cepat matang dan memiliki sikap berdikari kerana pada usia yang masih kanak-kanak lagi, beliau sudah menjual layang-layang, melukis, menulis surat, dan menyalin al-Quran untuk mendapatkan wang. Abdullah juga sangat rajin menuntut ilmu. Dia tidak kisah belajar dengan sesiapa asalkan dapat mempelajari ilmu baru. Bidang yang paling digemarinya ialah bidang bahasa dengan meluaskan pengetahuan mengenai kata dari aspek simpulan, ikatan, rangkai kata, kuasa, tujuan, dan ilmu bahasa. Beliau juga turut mempelajari bahasa Tamil, Arab, dan Inggeris selain bahasa Melayu untuk memudahkan proses berkomunikasi dengan bangsa lain.
Abdullah menerima gelaran “munsyi” yang bermaksud guru ketika berumur 11 tahun kerana kepintarannya dan mempunyai banyak ilmu. Beliau juga menjadi guru dan mengajar pelajaran agama kepada askar Islam Melaka. Golongan askar tersebut atau dikenali sebagai Supai atau ‘sepoy’ dalam bahasa Inggeris yang telah memberikan gelaran “munsyi”. Mereka merupakan anggota tentera berbangsa India yang diambil berkhidmat dengan tentera Inggeris di India. Panggilan “munsyi” digunakan oleh Abdullah di hujung nama beliau dan gelaran tersebut menjadi sebahagiaan daripada nama penuh beliau sehingga kini. Abdullah meninggal dunia pada tahun 1854 berusia 58 tahun  ketika dalam perjalanan ke Mekkah. Ketika itu, beliau ingin menunaikan fardhu haji pada 19 Januari 1854. Sepanjang perjalanan itu, Abdullah mencatat pengalamannya tetapi terhenti apabila beliau meninggal dunia semasa berada di Mekkah. Hasil tulisan Abdullah itu tetap dicetak walaupun tidak dapat disiapkan dengan diberi tajuk “Kisah pelayaran Abdullah ke Jeddah” yang diterbitkan oleh Balai Pustaka, Jakarta pada 1920.
·         Sumbangan dan Peranan
Abdullah seorang yang sangat berkebolehan dan bijak. Abdullah banyak memainkan peranan dan memikul tanggungjawab seperti telah dilantik sebagai jurutulis dan penterjemah ketika Stamford Raffles membuat lawatan ke Melaka kali ketiga. Beliau bekerja di kediaman Raffles Bandar Hilir, Melaka. Tugas yang lakukan sebagai jurutulis Raffles antaranya menyalin hikayat, menulis surat kiriman, menulis tentang bahasa Melayu, syair, dan sebagainya. Sikap rajin dan dedikasi yang ditunjukkan oleh Abdullah membuatkan Raffles menyenanginya dan berasa hormat dalam kalangan Inggeris terhadap anak watan itu. Bagaimanapun, persahabatan itu terputus apabila Raffles berpindah ke Betawi.
Ketika usianya 27 tahun, Abdullah telah mengajar Bahasa Melayu kepada Paderi Milne tetapi pada masa yang sama Paderi Milne bersetuju menerima Abdullah belajar bahasa Inggeris. Selain menjadi seorang guru kepada orang Inggeris, Abdullah turut mencetak buku dan risalah. Abdullah juga telah mengajar seorang lagi Inggeris yang bernama C.H.Thomson ketika dia datang ke Melaka pada bulan September 1815 selepas Abdullah mula belajar dan mengajar di rumah Paderi Milne. Walaupun Paderi Thomson pernah belajar bahasa Melayu di Jawa, dia tetap mahu menguasai lagi bidang nahu dan penulisan bahasa Melayu. Abdullah bersetuju untuk mengajar Paderi Thomson bahasa Melayu setelah berbincang dengan Paderi Milne dan memperuntukkan masa yang lebih berbanding Paderi Milne. Hal ini demikian dapat dilihat bahawa orang Inggeris berminat untuk mempelajari bahasa Melayu dan menunjukkan penyebaran penggunaan bahasa Melayu di seluruh dunia. Kehebatan anak Melayu juga terserlah apabila mampu bekerjasama dengan orang Inggeris.
Selain itu, pada tahun 1815, peralatan percetakan telah digunakan di kediaman Paderi Milne. Percetakan lebih giat dilakukan selepas peralatan percetakan seperti pengecap buku dan surat, dan pembentuk huruf-huruf jawi di bawa masuk. Abdullah telah menggunakan peralatan baru itu untuk membuat huruf-huruf, mengaturnya, dan mencetak buku serta surat. Dengan bantuan Abdullah, Aglo-Chinese College(ACC) telah mengeluarkan terjemahan buku matematik untuk anak-anak Melayu. Buku-buku perbualan dalam bahasa Melayu untuk tujuan berkomunikasi dan majalah turut diterbitkan. Berdasarkan rekod sejarah, majalah “Bustan Ariffin” telah diterbitkan di dalam dwi-bahasa, Inggeris-Melayu tiga bulan sekali. Bagaimanapun, penerbitan majalah tersebut hanya mampu bertahan selama dua tahun sahaja .
Apabila Singapura dibuka, Abdullah telah berpindah di sana dan menjadi jurutulis serta jurubahasa Raffles. Di Singapura, beliau tetap meneruskan kerja-kerja utamanya seperti di Anglo-Chinese College di Melaka, iaitu sebagai jurucetak, jurubahasa dan mengajar bahasa Melayu kepada pedagang-pedagang yang berada di Singapura. Beliau juga bertanggungjawab menulis undang-undang Singapura atas arahan Raffles. Abdullah juga diberi tugas untuk mengumpul bahan sastera Melayu lama seperti kitab, hikayat dan syair untuk Raffles membawa pulang bahan itu ke England. Seorang Inggeris yang bernama Newbold telah mengarahkan Abdullah mengkaji dan menulis adat Cina dan masyarakat Jakun dalam bahasa Inggeris apabila Abdullah kembali ke Melaka. Tugas itu telah membawa Abdullah mengembara ke Gunung Pancur bagi melihat dan mengkaji budaya hidup masyarakat Jakun di sana.
·         Pemikiran Abdullah Munsyi
Kebanyakkan hasil penulisan yang ditulis oleh Abdullah ini ialah berdasarkan pengalaman hidup yang pernah dilaluinya dan hal-hal realiti. Antara hasil karya yang telah ditulis ialah Kisah Pelayaran Abdullah (1838 ketika beliau sedang mengembara ke Pahang, Terengganu, dan Kelantan., karya Hikayat Abdullah (1849) tentang perjalanan hidupnya, karya Kisah Pelayaran Abdullah ke Jeddah (1920), karya Syair Singapura Terbakar(1830), Dewa-ul-kulub (1883), dan sebagainya. Sarjana bahasa bersepakat bahawa dari segi penggunaan bahasa Melayu, Abdullah Munsyi tidak boleh dikategorikan sebagai tokoh bahasa yang terbaik. Abdullah menggunakan bahasa Melayu yang tidak setaraf dengan bahasa Melayu yang terdapat dalam karya-karya Melayu lama. Hal ini demkian kerana, Abdullah dilahirkan dalam keluarga yang bertutur dalam bahasa Tamil dan pada peringkat awal, bahasa Melayu diajar oleh bapanya sendiri. Walau bagaimanapun, dengan semangat yang tinggi, Abdullah mempelajari bahasa Melayu secara formal, teratur, dan betul.
Abdullah boleh dianggap sebagai wartawan yang merakamkan pengalaman hidup dan kisah-kisah yang berlaku dalam masyarakatnya. Karya yang ditulis berdasarkan hal-hal yang menarik dan mampu memberikan manfaat kepada para pembaca kerana cerita yang dihasilkan bukanlah cerita dongeng atau khayalan. Bahan-bahan yang ditulis Abdullah menjadikan suatu titik persimpangan besar yang membezakan antara karya-karya Melayu lama dengan penulisan Melayu moden. Begitu juga dengan hasil penulisan Abdullah yang tergolong ke dalam bentuk kesusasteraan Melayu moden. Oleh itu, Abdullah Munsyi telah diberikan penghormatan oleh golongan sasterawan Melayu sebagai “Bapa Kesusasteraan Melayu Moden”.

1 ulasan:

  1. menarik,min coba diceritakan pula kisah beliau dalam menyalin Al-Qur'an

    BalasPadam