Sabtu, 18 Oktober 2014

Tun Seri Lanang

Latar Belakang

Seorang lagi tokoh pengarang karya agung dunia Melayu yang diiktiraf karyanya adalah Tun Sri Lanang. Beliau merupakan salah seorang tokoh pengarang karya agung dahulu yang amat berjasa kepada dunia Melayu sehingga kini atas sumbangannya yang telah mencatatkan segala hal yang berlaku pada zamannya dan segala hal yang didengar daripada orang tua-tua dahulu. Sebagai permulaan sebelum diperturunkan segala sumbangan dan ulasan karya beliau, baik kiranya dilihat dahulu serba sedikit latar belakang atau biodata tokoh pengarang ini yang pada awalnya tercatat juga di dalam kitab terkenal karangannya. Nama sebenar Tun Sri Lanang ialah Tun Muhammad bin Tun Ahmad. Beliau merupakan anak kepada Tun Ahmad Paduka Raja. Tun sri Lanang telah dilahirkan pada tahun 1565 di Bukit Seluyut, Batu Sawar, Johor.
Antara tugas yang pernah ditugaskan kepada Tun Muhammad ini adalah Bendahara Mahkamah Diraja Kesultanan Johor sekitar abad ke-16 dan ke-17 serta pernah berkhidmat di bawah pemerintahan dua orang Sultan Johor, iaitu Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II pada tahun 1570 hingga 1597 dan Sultan Alauddin Riayat Shah III pada tahun 1597 sehingga 1615. Selain itu, dalam khidmatnya, Tun Sri Lanang pernah menjadi penasihat kepada tiga orang Sultan Acheh iaitu Sultan Iskandar Muda (1615-1636), Sultan Iskandar Thani (1636-1641) dan Sultan Tajul Alam Safiatuddin Shah (1641-1675). Tun Sri Lanang dalam hayatnya juga telah digelarkan sebagai Bendahara Johor, Bendahara Paduka Raja Tun Mohamad dan setelah menetap di Acheh, beliau digelar sebagai Orang Kaya Dato’ Bendahara Seri Paduka Tun Seberang.           
·         Sumbangan dan Peranan
Antara sumbangan terbesar Tun Sri Lanang adalah, Tun Sri Lanang telah menulis dan menghasilkan sebuah karya yang menjadi rujukan dan peringatan buat bangsa Melayu, iaitu Kitab Sejarah Melayu. Dari sudut sejarah penulisannya, pada tahun 1612, Raja Abdullah telah menitahkan Tun Sri Lanang untuk menulis Sejarah Melayu’untuk memastikan masyarakat pada zaman tersebut mengambil manfaat daripada penulisan tersebut. Buktinya adalah melalui petikan yang terdapat di dalam karya tersebut yang juga disebut sebagai Sulalatus Salatin atau Pertuturan Segala Raja-raja  yang bertulis seperti berikut;
“Bahawa hamba minta diperbuatkan hikayat […] pertuturan segala raja-raja Melayu dengan istiadatnya, supaya didengar oleh anak cucu kita yang kemudian dari kita dan diketahuinyalah segala perkataan, syahadan beroleh fa’edahlah mereka itu daripadanya.”
(Sulalat al-Salatin, edisi Karya Agung, 1997: 3)
Maka dituliskan Kitab ini sebagai tanda taat beliau terhadap sultan, dengan jawapannya dicatatkan seperti di bawah;
“Maka fakir karanglah hikayat ini […] dan fakir himpunkan daripada segala riwayat orang tuha-tuha dahulu kala supaya akan menyukakan duli hadrat baginda.”
(Sulalat al-Salatin, edisi Karya Agung, 1997: 4)

Kitab Sejarah Melayu ini dikatakan ditulis oleh Tun Sri Lanang bermula Februari 1614 dan telah disiapkan pada Januari 1615. Ini bermaksud bahawaSejarah Melayu telah ditulis 103 tahun setelah Portugis menakluk Melaka. Pada masa tersebut juga Tun Sri Lanang masih berada dalam tawanan Acheh dan meninggal di Acheh. Inilah kitab yang dikatakan sebagai Sejarah Melayuyang menjadi sumber pensejarahan Melayu dan dokumen kebudayaan Melayu yang sangat penting.
      Antara lainnya, Tun Sri Lanang dalam sumbangannya terhadap dunia Melayu pernah terlibat secara langsung dalam perancangan menawan semula Melaka sekitar tahun 1586, 1587 dan 1606. Beliau juga pernah ditugaskan untuk menyusun pertahanan Johor bagi menghadapi serangaan Portugis dan Acheh, menjdi utusan kerajaan Johor ke Goa untuk berunding dengan Portugis pada tahun 1612 dan pernah juga mengatur perjanjian bersama Admiral Matelief pada tarikh 23 September 1606 untuk mempertahankan Johor daripada serangan Acheh.
·         Pemikiran Tun Sri Lanang dalam  Sulalatus Salatin
Pada asalnya, Sejarah Melayu ini dikarang di Melaka dan dibawa bersama semasa Sultan Mahmud Shah berundur dari Melaka pada tahun 1511. Seterusnya, pada tahun 1528, naskhah asal Sejarah Melayu ini telah dibawa dari Kampar ke Johor. Pada tahun 1536, Portugis dikatakan telah merampas naskhah ini semasa menyerang Johor. Kemudian, ia telah dibawa kembali ke Johor oleh Orang Kaya Suguh. Pada tahun 1612, Tun Sri Lanang kembali menyalin semula dan memperbaiki naskhah Sejarah Melayu yang sedia ada. Kebenaran sama ada Tun Sri Lanang merupakan penulis sebenar atau sekadar penyunting karya Sejarah Melayu ini tidak dapat dipastikan dengan tepat. Namun, menurut Syeikh Nuruddin Al-Raniri seorang ulama’ dan penasihat agama Sultan Acheh, beliau telah memperakui bahawa Tun Sri Lanang adalah pengarang dan penyusun Sulalatus Salatin yang sebenar berdasarkan bukti tertentu dan atas dasar beliau juga adalah kenalan rapat kepada Tun Sri Lanang.
Karya Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) ini terisi di dalamnya pelbagai sejarah masyarakat Melayu, Jawa, Brunei, Patani dan Campa. Ia adalah suatu karya yang banyak menceritakan tentang sejarah bangsa-bangsa di Nusantara dan diperakui kekayaan isi cerita di dalamnya. Pelbagai peristiwa yang kini dilabelkan sebagai sejarah bangsa Melayu termuat di dalam hasil pengarangan ini termasuklah yang berunsurkan salasilah raja-raja, kisah kepahlawanan, sejarah, humor atau jenaka, kisah-kisah cinta dan kasih sayang, kisah yang berunsur magis dan sebagainya. Kisah-kisah ini dirakamkan dan disampaikan mesejnya kepada pembaca melalui gambaran dan imaginasi yang tinggi, daya fikiran yang tajam serta melalui pelukisan yang tepat. Dapat juga dilihat melalui karya ini, Tun Sri Lanang menggunakan pelbagai bahasa, misalnya bahasa Arab dan Jawa yang menggambarkan kelebihan beliau sebagai individu yang menguasai lebih daripada satu bahasa.
Penulisan Tun Sri Lanang tentang Sejarah Melayu ini antara lainnya menggambarkan kehidupan masyarakat Melayu pada zaman dahulu kala yang boleh menjadi contoh dan tauladan buat masyarakat Melayu pada masa ini. Melalui pengkaryaan ini juga dapat dilihat bukti keagungan masyarakat Melayu sedari dulu yang kini menjadi warisan dan tinggalan buat masyarakat kini serta menjadi bukti kukuh keagungan Melayu sejak dahulu. Hal ini terbukti apabila terciptanya ratusan puisi, drama, filem, lukisan, dan karya sejarah yang tercetus hasil daripada karya Sulalatus Salatin serta dapat juga dilihat banyak yang diterjemahkan ke dalam bahasa lain seperti bahasa Inggeris, Russia dan Jerman. Antara petikan yang boleh dijadikn bukti kepelbagaian kisah yang terdapat dalam Kitab Sejarah Melayu dapat dilihat seperti berikut;
·         Kisah Perkahwinan Puteri Syahrul Bariah
“Bahawa sudahlah hamba kahwinkan anak Raja Kida Hindi yang bernama Puteri Syahrul-Bariah dengan Raja Iskandar. Adapun isi kahwinnya tiga ratus ribu dinar emas, redakah tuan hamba? Maka disahutnyalah Raja Iskandar, ‘Redalah hamba’.’
(Sulalatus Salatin, 2003: 6)
Melalui petikan di atas, dapat dilihat cara perkahwinan Islam pada masa dahulu dengan aturannya. Nabi Khidir menjalankan tugasnya menikahkan anak Raja Kida Hindi dengan Raja Iskandar menurut syariat Nabi Ibrahim. Melalui petikan tersebut juga dapat dilihat cara masyarakat dahulu disatukan antara lelaki dan perempuan. Melalui perkahwinan inilah mereka dapat menimbulkan rasa kasih sayang antara suami dan isteri serta kekal bahagia dalam hidup berpasangan.

·         Kisah Badang Beroleh Gagah
“Maka oleh Badang diambilnya prangg dn kapaknya, serta diberani-branikan dirinya, lalu diteerpanya menangkap janggut hantu itu,…”
(Sulalatus Salatin, 2003: 48)

Ini pula kisah yang memperlihatkan keperkasaan dan magis yang dimiliki oleh masyarakat dahulu kala yang kekuatannya sukar dijangkau oleh pemikiran orang pada zaman ini. Ada lagi kisah-kisah yang menggambarkan kekuatan, keperkasaan dan magik, misalnya Kisah Ketiganya Sama Gagah, Mia Ruzul dengan Kambing Randuk, Nyaris Lembing diterbangkan ke Dada dan sebagainya. Terdapat juga kisah-kisah yang menggambarkan perihal raja-raja, adat istiadat dan sebagainya. Kesemuanya terdapat di dalam Kitab Sejarah Melayu yang ulung dituliskan oleh Tun Sri Lanang Bendahara raja ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan