Sabtu, 18 Oktober 2014

Raja Ali Haji

   Latar Belakang


Lahirnya sesuatu karya itu bukanlah daripada kekosongan. Tentu ada tangan yang menciptanya. Bentuk dan isi sesuatu karya itu berkait rapat dengan latar belakang pengarangnya. Oleh itu, dengan mengetahui latar belakang pengarang, dan masyarakatnya dapat memudahkan sesuatu karya itu untuk difahami. Raja Ali Haji dianggap sebagai pujangga Melayu. Pujangga Melayu ini mendapat tempat yang tersendiri dalam sejarah kesusasteraan Melayu. Beliau seorang pujangga yang berbakat dalam berbagai bidang. Kepelbagaian bakat ini jarang ditandingi oleh pujangga-pujangga yang lain baik sebelum mahupun selepasnya (Abu Hassan Sham, 1994: 108).
Raja Ali Haji atau nama penuhnya, Raja Ali Haji bin Raja Ahmad telah melakukan anjakan paradigma ke atas karya manuskrip Melayu yang dikarang oleh beliau. Sebagai seorang pujangga yang dianggap terkemuka dalam zamannya, beliau mempunyai wawasan tersendiri dalam memperbaiki bangsanya. Beliau mahu bangsanya selamat di dunia dan di akhirat. Mereka hendaklah bermuafakat dan jangan mengamalkan fitnah memfitnah, dan hidup di dunia hendaklah berlandaskan hukum syariat. Hal ini demikian jelas dapat dilihat dalam kebanyakan karyanya .
Beliau merupakan pujangga daripada golongan bangsawan. Namun, beliau bukan hanya menulis karya sejarah semata-mata seperti bangsawan sebelumnya iaitu Tun Seri Lanang dan Raja Culan, tetapi beliau menulis karya ketatanegaraan dan syair yang bersifat agama. Jadi, bakat beliau ialah gabungan karya-karya untuk golongan pemerintah dan juga untuk semua golongan sebagaimana yang dicerminkan dalam syair-syairnya. Beliau bukan sahaja berasal daripada keluarga bangsawan, tetapi juga daripada keluarga penyair. Bapanya, Raja Ahmad ialah pengarang Syair Ungku Puteri dan adiknya Raja Saleha dan Raja Daud juga dikatakan pengarang. Anak-anaknya iaitu Raja Hassan merupakan pengarang Syair Burung, Raja Safiah ialah pengarang Syair Kumbang Mengindera dan Raja Kalthum ialah pengarang Syair Saudagar BodohCucunya pun terdiri daripada penyair juga.   
Tarikh kelahiran beliau tidak dapat dipastikan oleh para pengkaji dan menurut Siti Hawa Haji Salleh, tarikh kelahiran beliau hanya dapat diteka daripada tarikh-tarikh yang disebutnya dalam kitab Tuhfat al-Naffis, iaitu pada tahun 1809. Manakala kemangkatan beliau pula hanya dapat dianggarkan pada tahun 1869 hingga 1875 juga didasarkan daripada kitab beliau tersebut.
Raja Ali Haji bin Raja Ahmad merupakan cucu kepada Raja Haji, marhum teluk Ketapang yang telah gugur sewaktu peperangan antara Bugis dan Belanda di Melaka pada tahun 1784. Keturunannya dikesan kepada Daing Celak, salah seorang pahlawan Bugis yang berkuasa di bahagian barat Alam Melayu semenjak abad ke-18 lagi (Siti Hawa Haji Salleh, 1997: 173). Pada waktu itu, keluarga Bugis ini telah berkuasa di Riau, Penyengat yang telah menjadi pusat kebudayaan Melayu dan pusat ilmu pengetahuan Islam di Kepulauan Melayu. Keluarganya juga turut memainkan peranan yang penting sewaktu berlaku pergolakan politik pada kurun ke-18 dan kurun ke-19 di Kepulauan Melayu.
Tidak seperti remaja-remaja yang lain, Raja Ali Haji telahpun memikul amanah dan tanggungjawab sebagai pemimpin sejak dari usia yang muda. Hal ini demikian kerana ketika beliau masih kecil lagi beliau telah dibawa oleh ayahandanya sebagai utusan Sultan Riau untuk berjumpa dengan Baron van Der Capellen, Gabenor Jenderal Hindia Belanda. Malah seawal usia 19 tahun lagi, beliau telah pergi untuk menunaikan rukun Islam yang kelima, iaitu menunaikan fardu haji ke Makkah. Di kesempatan itulah, beliau telah menimba ilmu pengetahuan daripada ulama-ulama yang terkenal di tanah suci Makkah.
Dalam pada itu, beliau tidak hanya dikenali sebagai seorang tokoh pujangga Melayu malahan juga turut melibatkan diri sebagai seorang guru agama. Hal ini demikian kerana kebijaksanaan beliau dalam hal ilmu pengetahuan yang mencakupi pelbagai bidang sememangnya tidak dapat dinafikan. Juga daripada karya-karyanya adalah mudah  kita lihat bahawa beliau bukan sahaja mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang agama, bahkan pintar pula berbahasa Arab (Mohamad Daud Mohamad, 1987: 146). Antara karya yang telah dihasilkan oleh beliau adalah Bustan al-Katibin (1857), Kitab Pengetahuan Bahasa (1859),Salasilah Melayu dan BugisTuhfat al-Naffis dan sebagainya.
Berdasarkan Tuhfat al-Naffis, dapat diketahui serba sedikit latar belakang keluarga dan kehidupan beliau. Ibunya ialah Puan Hamidah iaitu anak Panglima Perang Malik dari Selangor. Raja Salihah yang dikatakan pengarang Syair Abdul Muluk ialah saudara seibu sebapa dengan beliau. Raja Ali Haji mempunyai beberapa orang isteri. Isteri pertamanya ialah Sulung dan mereka mempunyai beberapa orang anak. Hasil perkahwinan dengan isteri kedua iaitu Raja Halimah, melahirkan Kalthum pengarang Syair Saudagar Bodoh dan Raja Hassan, pengarang Syair Burung. Raja Ali Haji turut berkahwin dengan Raja Safiah dan Daing Cahaya. Hasil perkahwinan ini juga menghasilkan beberapa orang anak (Abu Hassan Sham, 1994: 110). 
·         Sumbangan dan peranan
Sumbangan terbesar tokoh pujangga Melayu ini adalah dengan melakukan evolusi terhadap karya-karya yang telah dikarang olehnya. Raja Ali Haji telah mencetuskan fenomena baharu dalam dunia penulisan manuskrip pada waktu itu. Antara pembaharuan yang dilakukan oleh tokoh ini adalah unsur pentarikhan, pengakuan menggunakan sumber-sumber lain yang terdahulu sebagai rujukan dan pengabsahan, dan pernyataan pengarang sendiri agar kesilapan yang terdapat dalam tulisannya diperbetulkan oleh anak cucu terkemudian (Siti Hawa Haji Salleh, 1997: 174). Pada era sebelum kemunculan Raja Ali Haji, unsur tarikh dalam karya yang ditulis oleh pengarang atau penyalin tidak dititikberatkan lantaran mereka masih lagi belum menyedari tentang kepentingan unsur ini dalam penulisan manuskrip yang diadun oleh mereka.
Selain itu, pembaharuan yang dicipta oleh Raja Ali Haji adalah ‘pembebasan’ terhadap pujangga Melayu yang lain bagi setiap adunan karya manuskrip mereka. Hal ini demikian kerana menurut Siti Hawa Haji Salleh, kira-kira pada tahun 1860 hingga 1872, tulisan itu telah diciptakan tidak dengan arahan raja atau untuk memenuhi keinginan raja menegakkan keabsahan asal usul mitos raja negeri yang berkenaan. Pembebasan yang dimaksudkan adalah para pujangga tidak lagi terikat dengan sultan tentang karya yang telah dihasilkan oleh mereka. Tidak seperti Sejarah Melayu, Hikayat Merong Mahawangsa  dan lain-lain, hasil penulisan sejarah karangan Raja Ali Haji khususnya Tuhfat al-Naffis, telah diciptakan berdasarkan desakan hasrat hatinya sendiri:
… Dan berbangkitlah hatiku bahawa memperbuat kitab ini yang disimpan, dan di dalamnya menyatakan salasilah dan perjalanan dan tawarikh dan segala khabar-khabar.
(Sumber: Siti Hawa Haji Salleh, 1997: 174)
Petikan yang diambil daripada Tuhfat al-Naffis ini jelas mencerminkan kepada para pembaca tentang kebebasan yang dicipta oleh tokoh ini untuk mencanai sesebuah karya tanpa perlu terikat dengan keinginan pemerintah. Oleh yang demikian, keterbukaan minda oleh para pengarang untuk menghasilkan sebuah karya adalah amat diperlukan bagi menghasilkan sebuah karya yang lebih baik dan bermutu.
Jika ditelusuri dengan lebih terperinci lagi, Raja Ali Haji juga turut memainkan peranan dari aspek keilmuan dan keagamaan. Menurut Siti Hawa Haji Salleh, dari umur yang masih muda beliau sudah terkenal sebagai seorang ulama yang disegani dan ini menerangkan sebab beliau mengarang beberapa buah kitab agama. Hal ini demikian kerana sewaktu zaman kegemilangannya, Raja Ali Haji telah menjadi penasihat dan guru agama kepada Yang Dipertuan Muda Raja Abdul Rahman (1831-1844), Raja Ali (1844-1857), Raja Abdullah (1857-1858) dan Raja Muhammad Yusuf.
Raja Ali Haji juga banyak menghasilkan manuskrip yang membicarakan tentang aspek keagamaan dan peraturan dalam Islam. Antara karya beliau yang menyentuh aspek tersebut adalah  Syair Siti Sianah yang membicarakan tentang hukum-hukum Islam seperti wuduk, mandi, sembahyang, puasa dan sebagai. Karya lainnya pula adalah seperti Syair Kitab al-Nikah, Syair Hukum Faraid, Gurindam Dua Belas dan sebagainya. Raja Ali Haji banyak menggunakan bahasa kiasan sewaktu mencerna karya-karya beliau. Misalnya dalam Syair Kitab al- Nikah yang mana beliau menyindir golongan ahli agama yang diwakili oleh lebai Guntur Haji Muda yang menggunakan perkahwinan cina buta sebagai jalan keluar untuk menyelesaikan masalah seorang suami yang gila talak. Namun, sindiran yang dibuat oleh tokoh terulung ini tidak dapat dilihat secara konkrit dalam setiap bait syair tersebut. Hal ini demikian kerana para pembaca perlu membuat pemerhatian yang lebih halus terhadap karya bagi melihat maksud yang hendak disampaikannya.
Dalam aspek yang lainnya pula, Raja Ali Haji juga turut berperanan terhadap perkembangan bahasa Melayu pada era ketokohan beliau. Pada waktu itu, beliau telah cuba menghasilkan sebuah manuskrip yang membincangkan tentang tatabahasa Melayu yang berjudul Kitab  Pengetahuan Bahasa. Kitab ini mulai disusun pada tahun 1858 dan bukan merupakan kamus dalam erti yang sebenarnya, tetapi sejenis ensiklopedia yang mengandungi pengetahuan umum dan pendapat serta pandangan pengarang tentang kata-kata yang dimasukkan dalam buku ini (Mohamad Daud Mohamad, 1987: 135). Berdasarkan kitab tersebut, Raja Ali Haji membicarakan tentang sikap orang Melayu yang gemar merosakkan bahasa yang mana penggantian sesetengah perkataan yang sewajarnya dipertahankan sebagai pengguna asli bahasa Melayu. Misalnya, perkataan ‘bilang’ yang digunakan untuk menggantikan ‘kata’, ‘kasi’ untuk ‘beri’ dan sebagainya.
Jika dikupas dengan lebih terperinci lagi, Raja Ali Haji juga turut menebarkan sumbangannya dalam bidang pensejarahan. Hal ini dibuktikan dengan penemuan karya beliau yang berjudul Tuhfat al-Naffis (Hadiah Yang Bernilai) yang telah meriwayatkan tentang sejarah raja-raja Melayu dan Bugis. Dalam buku tersebut, beliau telah dapat meriwayatkan tentang sejarah hidupnya sendiri dengan tepat melalui penggunaan tarikh bagi mensahihkan lagi bukti yang diutarakan oleh beliau. Jika dilihat dari mata kasar, masyarakat dahulu tidak begitu mementingkan tarikh sewaktu mencanai idea dalam karya mereka namun idealis ini telah mengemukakan pembaharuan dalam dunia manuskrip pada waktu itu.
Dalam aspek pensejarahan, tarikh amat penting untuk membuktikan kebenaran tentang aspek yang yang hendak diceritakan oleh seseorang pengarang itu. Dengan adanya tarikh, tarikh kitab ini dapat diketahui oleh generasi kini, iaitu pada 1228H (1865M). Tujuan beliau menulis karya ini adalah untuk tatapan anak cucunya yang akan datang. Antara petikan yang dapat dipetik daripada manuskrip ini adalah : 
Syahadan inilah kesudahan kitab Tuhfat al-nafis ini. Maka tamatlah riwayat kisah cerita-cerita antara raja-raja Melayu serta Bugis daripada anak cucu raja-raja Melayu yang keturunan daripada Marhum Abdul Jalil yang mangkat di Kuala Pahang serta Marhum Raja Kecil negeri Siak. Syahadan di belakang ini kelak siapa-siapa daripada anak cucuku hendak menghubungkannya siarah ini maka patutlah, akan tetapi dengan jalan yang patut dan dengan ibarat perkataan yang wadthu’a dan sah serta aturan yang patut  serta benar supaya terpakai…
(Petikan diambil daripada buku Tokoh-Tokoh Sastera Melayu Klasik karya Mohamad Daud Mohamad, 1987,: 136)
Dalam petikan yang diambil, jelas menunjukkan bahawa beliau menghasilkan sesuatu karya untuk tatapan anak cucunya yang kemudian agar keturunan dan salasilah mereka dapat dikekalkan. Mungkin pada waktu itu, beliau telah menyedari tentang hari-hari yang akan datang mengenai salasilah keturunannya. Sikap beliau yang begitu kreatif terhadap dunia penulisan juga akhirnya menjadi contoh dan ikutan kepada pengkarya-pengkarya yang lain.
Dari aspek kebudayaan Melayu pula, Raja Ali Haji menggunakan hasil karyanya sebagai medium kawalan sosial terhadap masyarakat pada waktu itu. Kawalan sosial yang dimaksudkan adalah dari segi pergaulan, tatacara hidup masyarakat dan sebagainya. Raja Ali Haji telah menggunakan manuskrip beliau untuk mengkritik cara kehidupan masyarakat pada waktu itu yang telah terpengaruh dengan budaya Belanda yang telah datang menjajah Tanah Melayu.Seperti yang diketahui, budaya Barat dan Timur sememangnya ibarat minyak dan air yang tidak akan dapat digabungkan menjadi satu. Hal ini demikian kerana kepercayaan yang berbeza menyebabkan kedua-dua budaya ini tidak dapat diguna pakai oleh masyarakat Melayu. Oleh yang demikian, Raja Ali Haji telah mengkritik perlakuan-perlakuan mereka yang dirasakan oleh beliau tidak sejajar dengan budaya masyarakat Melayu.
Misalnya dalam Tuhfat al-Nafis, beliau telah melakukan kritikan halus terhadap gaya hidup orang istana sewaktu berjumpa dengan gabenor Jeneral Van Der Capellen. Antara petikan kritikan beliau adalah:
Syahadan pada suatu malam yang lain pula datang lagi panggilan Gabenor Jenaral pada suatu rumah tempat orang-orang bermain dan makan-makan. Di situlah segala Holanda yang muda-mudi menari bersama-sama perempuan nonanya berpeluk-peluk dengan muzik. Lepas selesai itu baharulah makan-makan hingga pukul satu. Masing-masing pun baliklah ke rumahnya…
(Petikan diambil daripada buku Tokoh-Tokoh Sastera Melayu Klasik karya Mohamad Daud Mohamad, 1987,: 136)
Dalam petikan tersebut, mencerminkan bahawa perlakuan para tetamu yang hadir yang mana mereka berpelukkan merupakan satu perlakuan yang jauh tersasar daripada kehendak syariat. Oleh yang demikian, sebagai salah seorang daripada orang istana, tokoh pengarang ini tidak dapat menyatakan kritikannya secara terangan lalu telah mengkritik sikap tersebut melalui karyanya. Penggunaan bahasa yang tepat yang telah digunakan oleh beliau dapat menyampaikan maksud tersirat yang ingin diperkatakan olehnya.
Kesimpulannya, peranan dan sumbangan Raja Ali Haji sangat banyak sepanjang penglibatannya dalam bidang kepengarangan. Walaupun terdapat pembaharuan yang dibuat oleh tokoh ini namun beliau masih tetap dianggap sebagai pengarang yang klasik. Beliau bijak memanipulasikan pembaharuan yang dibuat untuk disesuaikan dengan arus zaman pada ketika itu tanpa meninggalkan adab resam serta budaya orang Melayu yang mementingkan kesantunan dalam kehidupan seharian.

·         Pemikiran Raja Ali Haji
·         Tuhfat al-Naffis
Tuhfat al-Naffis merupakan antara karya Raja Ali yang terulung pada era kegemilangan beliau. Kitab ini tergolong dalam karya sejarah kerana menceritakan tentang salasilah keturunan beliau. Namun demikian merujuk kepada pendapat yang menyatakan bahawa beliau hanya mengolah semula karya ini kerana pada asalnya karya ini telah ditulis oleh ayahandanya, iaitu Raja Haji Ahmad. Untuk menyokong lagi teori bahawa Tuhfat ditulis bersama adalah hakikat bahawa Raja Ali Haji diketahui telah mengerjakan semula sekurang-kurangnya dua teks yang lain. Syair Sultan Abdul Muluktelah diterbitkan di bawah namanya. Tetapi dikatakan sebagai karya saudara perempuannya, dan Salasilah Melayu dan Bugis adalah berdasarkan kepada kitab yang dipunyai oleh saudara Raja Ali, iaitu Sayyid al-Syarif Abdul Rahman dari Pontianak (Virginia Matheson 1982: xx), (Harun Jaafar: 109). Oleh yang demikian, bolehlah dikatakan bahawa Tuhfat al-Naffismerupakan karya bersama antara Raja Haji Ahmad dengan Raja Ali Haji. Namun begitu, tokoh terulung ini juga turut memaparkan cerminan ideanya yang tersendiri tanpa meminggirkan idea asal ayahnya.
Dalam karya sejarah ini, beliau telah membahagikannya kepada dua bahagian, iaitu bahagian pertama menceritakan tentang Raja-Raja Melayu Pertama dan bahagian dua memaparkan tentang pelbagai aspek, iaitu catatan sejarah mengenai orang-orang Bugis. Penceritaannya dalam karya ulung ini masih lagi memasukkan unsur mitos dan lagenda. Namun demikian beliau telah meminimumkan unsur-unsur ini. Namun hal yang demikian, karya ini telah menemukan tentang unsur intertekstualiti, iaitu unsur-unsur lain yang mempengaruhi teks tersebut. Menurut Mana Sikana (1996), intertekstualiti mengatakan bahawa sesebuah teks tidak hanya berdiri di kaki sendiri melainkan dihuni oleh teks atau teks-teks yang lain.
Fenomena yang mewujudkan unsur intertekstualiti ini adalah rentetan daripada pengaruh karya-karya lain wujud secara terdahulu sebelum karya Tuhfat al-NaffisMisalnya dalam karya ini yang menceritakan tentang proses pengislaman golongan bangsawan. Namun, proses pengislaman dalam Tuhfat al-Naffis bagi golongan bangsawan diceritakan dalam bentuk mitos (Harun Jaafar, 112). Beliau menyatakan bahawa pengislaman Raja Kecil Besar adalah melalui mimpi yang mana Raja Kecil Besar telah diIslamkan oleh nabi Muhammad sendiri. Hal ini telah diungkapkan oleh Shellabear melalui karya Tuhfat al-naffis pada tahun 1961.
Dalam pada itu, beliau turut memasukkan hal-hal peperangan yang terjadi pada zaman tersebut. Fenomena ini menjurus kepada cerita tentang peperangan yang terjadi antara Belanda dengan Bugis. Misalnya, isu percubaan untuk berdamai dengan pihak berikat tersebut yang menemui jalan buntu. Beliau memilih untuk mencanai idea tersebut agar dapat dijadikan tauladan oleh generasi yang akan datang. Pemikiran beliau yang sangat optimis itu sangat membantu dalam aspek pensejarahan keturunan Bugis amnya.
Di samping itu, unsur intertekstualiti daripada pengaruh kekuasaan raja juga turut diselitkan dalam karya tuhfat ini. Misalnya,  Raja Ali Haji yang menceritakan tentang adat dan larangan oleh kaum kerabat diraja pada waktu itu yang diguna pakai sehingga hari ini walaupun ada antara adat tersebut telahpun ‘dibersihkan’ mengikut peredaran zaman. Beliau menyatakan bahawa Sultan Muhammad Syah merupakan individu pertama yang meletakkan adat-adat Melayu seperti warna kuning yang tidak boleh dipakai oleh rakyat jelata dan sebagainya untuk diaplikasikan oleh keturunan diraja yang lainnya (Raja Ali Haji dalam Virginia Matheson,1982:5). Beliau mencanai idea tersebut melalui adat-adat orang besar yang berlaku pada waktu itu untuk digarap sendiri dalam karya tuhfattersebut.
Seterusnya unsur lagenda juga turut diselitkan dalam Tuhfat al-Naffis sebagai bahan olahannya dalam karya ini. Seperti yang diketahui, pada zaman tersebut cerita-cerita lagenda amat popular sehinggakan menarik hati Raja Ali untuk menggarap isu tersebut. Hal ini demikian kerana beliau yang terpengaruh dengan Sulalatus Salatin yang juga turut menceritakan tentang hal tersebut. Misalnya cerita lagenda yang dimasukkan oleh beliau adalah tentang Badang yang menjadi kuat setelah memakan muntah hantu.
Kesimpulannya, tokoh ini merupakan antara tokoh yang bijak dalam memanipulasikan idea dalam setiap karya yang ditulis oleh beliau. Unsur intertekstualiti yang dimasukkan oleh beliau dalam karya tersebut bukanlah bertujuan untuk ‘memplagiat’ namun lebih kepada tujuan memperkuatkan hujah yang dinyatakan oleh beliau agar lebih mantap dan berkesan terhadap pembaca.

·          Bustan al- Katibin
Karya ini merupakan hasil penulisan Raja Ali haji yang jauh berbeza dengan karya-karyanya yang lain. Hal ini demikian kerana karya ini lebih melihat kepada aspek bahasa atau nahu dan bukannya cerita-cerita sejarah seperti Tuhfat al-Naffis. Terpadat pendapat mengatakan, sebenarnya karya ini bukanlah sebuah hasil karya tentang nahu Melayu, namun sebenarnya penggunaan bahasa Arab ke atas bahasa Melayu. Sukar untuk mengatakan bahawa beliau telah cuba mengenakan nahu Arab ke dalam Bahasa Melayu ataupun sebaliknya. Bahagian yang paling besar tentang karya ini terdiri daripada Mukadimah diikuti oleh 31 Fasal atau perkara mauduk dan disimpulkan oleh tiga pesan atau nasihat yang ingin disampaikan oleh beliau. Dalam bahagian besar kitab ini, beliau bukan sahaja memperkatakan analisis ilmu bahasa tentang bahasa tersebut, tetapi menekankan juga perkara-perkara seperti nilai ilmu pengetahuan. Bahagian pengenalannya, sepertimana juga dengan kebanyakkan corak karya-karya klasik lain, diselangi dengan ungkapan-ungkapan Arab yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Hal ini demikian jelas merupakan bentuk yang dianjurkan dan digunakan oleh beliau terutama sekali dalam menulis warkah kiriman. Kemudian, dengan menggunakan bahasa Arab, disebutkan nama pengarang dan tujuan beliau menulis sebuah buku tentang bahasa dengan terjemahan bahasa Melayu seperti berikut :
“ini lah suatu kitab yang simpan bagi orang yang berkehendak atas mengenal segala huruf Melayu dan suratannya dan aku aturkan dia atas suatu mukadimah dan beberapa fasal dan satu khatamah. Aku namai akan dia Bustanul Katibin yakni perkebunan jurutulis bagi kanak-kanak yang hendak belajar.”
(Sumber: Mohamad Daud Mohamad, 1987: 159)
Mukadimah yang agak panjang diberikan oleh beliau antaranya mengandungi suatu perbincangan tentang pentingnya ilmu pengetahuan, cara bagaimana ilmu pengetahuan diperoleh, hubungan dengan guru dan lain-lain.
            Kitab atau karya ini mewakili suatu percubaan bagi menganalisis bahasa Melayu dengan pelbagai peraturan ilmu bahasa dan nahu bahasa Arab yang telah digunakan bagi mencapai matlamat ini. Hal ini demikian bukan sahaja disebabkan, beliau seorang yang fasih berbahasa Arab, tetapi juga kerana bahasa Melayu itu sendiri terutama dalam bentuk tulisannya telah banyak dipengaruhi oleh penggunaan bahasa Arab. Orang-orang terpelajar dan intelektual pada masa itu merupakan individu yang mahir dan mempunyai  pengetahuan dalam bahasa Arab. Hal ini demikian kerana, kegiatan intelektual yang paling unggul dalam zaman klasik adalah pengajian agama.
            Dari segi sejarah dan kebudayaan, hal ini adalah penting kerana karya ini muncul dalam masa pertengahan kedua abad yang ke-19, iaitu apabila tatanegara yang bercorak klasik telah memberikan lorong buat suatu peraturan sosial bentuk baru yang digariskan dalam pengembangan bangsa-bangsa Eropah ke alam Melayu. Pada mulanya, seperti juga penggunaan istilah-istilah peribumi seperti nama digunakan disamping istilah Arab ismuatau perbuatan bahasa Arabnya fiil disamping bahasa istilah Arab memang dapat dilihat walaupun separuh daripada percubaan-percubaan itu agak janggal dan sukar difahami. Namun demikian, masalah-masalah seperti ini bukan digunakan khusus oleh Raja Ali Haji sahaja, bahkan Zaaba pun dalam Pelita Bahasa Melayu terpaksa menggunakan istilah-istilah yang sama dan jarang digunakan.
            Raja Ali Haji dianggap sebagai pujangga bercorak klasik yang terakhir dan fakta ini digambarkan dalam Bustan al-Khatibin. Beliau memperkenalkan suatu unsur baru dalam dunia persuratan Melayu dengan mencuba menggunakan sistem penggunaan nahu untuk bahasa ini serta mempertahankan gaya bahasa klasik. Dalam Fasal yang terakhir melalui kitab ini, Raja Ali Haji menerangkan dengan jelas model bagi menulis surat kiriman. Menurutnya :
Bermula perkataan pada surat kiriman itu, maka hendaklah dimulai dengan Bismillahir-Rahmanir-Rahim; kemudian dengan Alhamdulillah, yakni memuji-muji akan Allah Taala, mana-mana yang munasabah, dan yang layak pada pekerjaan dan maksud di surat kiriman itu. Kemudian, maka selawat akan nabi kita serta keluarganya dan sahabatnya. Kemudian barulah dirinya dengan salam takzim dan mana-mana yang layaknya dan yang munasabahnya. Kemudian barulah datangkan perkaraan yang menceraikan perkataan puji-pujian dengan perkataan yang dimaksud, iaitu waba’dah atau amma ba’du. Dan terlebih baik dan terlebih simpan daripada menyebutkan daripada kalam almazkut dan terlebih fasihat lagi pula daripada diberi akan makna..”  
  (Sumber: Mohamad Daud Mohamad, 1987: 161)

Kesimpulannya, Kitab Bustan al-Katibin masih lagi mewakili pandangan dunia yang bercorak klasik berhubung penggunaan bahasa walaupun percubaan menyelesaikan suatu nahu untuk bahasa Melayu itu sendiri merupakan suatu perubahan baharu. 
·         Kitab Pengetahuan Bahasa
Karya Raja Ali Haji yang berkait rapat dengan bahasa selain Bustan al-Katibin dikenali sebagai Kitab Pengetahuan Bahasa. Kitab ini ditulis dalam tahun 1958 tetapi diterbitkan buat kali pertama pada tahun 1928 oleh Percetakan Al-Ahmadiah di Singapura. Melalui judul halaman, dapat dikenalpasti ianya di Pulau Penyengat Riau dalam tahun 1275 Hijrah. Namun, kitab ini tidak dihabiskan sebab kamusnya ditulis hingga ke huruf ca( چ). Dapat dilihat juga bahawa judul halaman menunjukkan yang karya ini sebagai penggal pertama dengan anggapan bahawa terdapat bahagian yang lain tentang karya ini. Sebagai yang telah diterangkan dalam warkah yang dihantar kepada Zaaba oleh penerbit pada 9 Januari 1930, karya yang diterbitkan itu merupakan keseluruhan teks yang telah diperoleh.
            Zaaba berpendapat bahawa Kitab Pengetahuan Bahasa ini lebih bersifat kamus dan merupakan satu petanda yang penting dalam sejarah kebudayaan orang-orang Melayu. Walaupun ianya tidak diterbitkan zaman hidupnya penulis, ianya mewakili suatu unsur baru dalam kegiatan persuratan yang bercorak klasik. Perkembangan kerja-kerja perkamusan dalam kalangan peribumi Melayu dalam erti kata moden menampakkan permulaanya dalam abad ke-19 dan percubaan Raja Ali Haji menyusun sebuah kamus merupakan suatu yang perlu diberikan perhatian. Namun begitu, karya ini bukanlah merupakan sebuah kamus dalam erti sepenuhnya. Dari aspek judulnya, ianya merupakan sebuah buku tentang pengetahuan ilmu bahasa dimana ianya dimulakan dengan suatu bab tentang nahu dengan menggunakan model bahasa Arab. Mukadimah selepas ungkapan Arab yang biasa digunakan dalam pujian atas Nabi menerangkan:
Yakni ini satu pendahuluan: ketahui olehmu orang yang menuntut bahasa Melayu bahawa sesungguhnya sekali-kali tiada boleh dapat kenyataan segala maksud bahasa Melayu dengan sempurnanya melainkan hendaklah dengan ilmu yang tersebut yang akan lagi datang di dalam kitab ini.
(Sumber: Mohamad Daud Mohamad, 1987: 164)
            Raja Ali Haji turut memperlihatkan pandangannya sendiri tentang perkara nahu seperti:
Ketahui olehmu, hai sekalian orang yang menuntut, banyaklah aku tinggalkan bicaranya pada ilmu nahu ini, tiada aku sebutkan di sini, sebab tiada maksudku hendak memanjangkan akan dia. Barangkali terlebih amat sukar bagi orang yang baharu belajar mamahamkan akan dia pada ilmu Arab, akan tetapi apatah dayaku daripada sangat loba aku hendak memperbuatkan kaedah ini yang dipegang oleh orang yang berkehendak akan membetulkan perkataannya dan suratannya, jika aku bukanlah ahlinya itu sekalipun pada yang demikian itu.
(Sumber: Mohd. Taib Osman, 1987: 164)
Terdapat sesutau yang menarik dimana pengetahuan tentang ilmu bahasa atau nahu dipanggil sebagai ‘ilmu Arab’, dan pernyataan tentang nahu dalam kitab tersebut tidak dapat diragukan lagi ialah bahasa Arab yang dipadankan kepada bahasa Melayu. Sebagaimana dalam Bustan al- Katibin, contoh-contohnya terdiri daripada bunyi Arab daripada bunyi Melayu. Dalam beberapa ilustrasi tertentu, seperti dalam hal gelaran, sebahagian yang dibincangkan ditemui dalam hidup orang-orang Melayu di zamannya seperti sultan, raja, menteri, baginda, yang dipertuan besar, yang dipertuan muda dan sebagainya.
            Bahagian tentang huruf menunjukkan terdapat pengkategorian bahasa Arab yang sememangnya tidak selari dengan bahasa Melayu. Contohnya, kategori tentang istilah jar termasuk dalam kata petunjuk dan juga sebagai dengan, daripada, kepada, hingga dan sebagainya. Dalam kategori selain daripada jar ia termasuk kata-kata seruan dan kata penyambung ayat seperti hoi, weh dan sebagainya. Dalam istilah tiada, beliau menerangkan bahawa terdapat pengertian yang sangat terhad dalam menggunkan kata negatif dalam bahasa Melayu jika dibandingkan dengan bahasa Arab yang terdapat beberapa peraturan berhubung penggunaannya.
            Kata interogetif termasuklah adakah, betapakah, beberapa, kerana dan apa. Namun mengkategorikan siapa, manakala, mana-mana dan di mana sebagai ismu bertanya. Penerangan beliau tentang perkataan-perkataan seperti ini hampir sama seperti yang dilakukan dalam bahasa Melayu. Adalah merujuk kepada pertanyaan pada, betapakah merujuk kepada hal, berapa merujuk kepada bilangan, kerana apa merujuk kepada sebab, apa merujuk kepada zat, siapa merujuk kepada batang tubuh, di mana merujuk kepada tempat dan sebagainya.  
            Beliau turut mengkategorikan perkataan-perkataan seperti bahkan, supaya, dan maka sebagai huruf jawab iaitu perkataan-perkataan ini menerangkan apa yang telah diucapkan sebelumnya. Dan, maka, kemudian, atau dan tetapi dikategorikan sebagai ‘huruf mengikut’ mengikut istilah Arab. Beliau juga menjelaskan perbezaan antara ayat yang lengkap, ayat yang tidak lengkap, dan perlengkapan dalam suatu ayat dengan menggunakan istilah perkataan, kata-kata dan kata yang berurutan. Ketiga-tiganya dikatakan berbentuk ismu, fiil dan huruf. Kemudiannya beliau menjelaskan lagi tentang pembentukan atau pembinaan ayat yang dimulakan dengan perkara-perkara, kemudian diikuti oleh perbuatan.
            Bab pertama kamus ini merupakan bahagian yang paling utama iaitu banyak membincangkan perkataan-perkataan yang dimulakan dengan huruf alif  آ) ) dan ianya dimulai dengan eksposisi yang panjang lebar tentang Allah. Hal ini demikian diikuti oleh Ahmad iaitu nama Nabi Muhammad yang ada dinyatakan dalam Injil, suatu penerangan tentang sahabat-sahabat nabi, asal usul dan tabiat manusia termasuklah kehidupan selepas mati. Hal ini demikian termasuklah juga penekanan kepada perangai-perangai yang terdapat pada manusia seperti tamak haloba dan angkuh serta sifat-sifat lain yang bertentangan dengan Islam. Terdapat juga eksposisi yang panjang lebar tentang hari kiamat.
            Bab kedua dan seterusnya telah mengambil bentuk sebuah kamus namun susunannya tidak mengikut huruf tetapi lebih cenderung kepada melihat aspek bunyi sesuatu kata itu. Dalam kamus ini banyak perkataan biasa ditemui dalam kamus pada hari ini. Namun, ianya penting dalam menerangkan perkataan-perkatan tersebut yang tidak lagi digunakan pada waktu ini. Terdapat istilah-istilah ganjil dari gugusan Riau-Lingga terutama sekali perkataan yang berasal dari Bugis. Dalam penerangan terhadap beberapa perkatataan, Raja Ali Haji menggunakan pengetahuan sejarahnya bagi menerangkan secara lebih lanjut tentang ertinya. Perkataan seperti uputidak sahaja menerangkan maknanya iaitu nama anak-anak raja Bugis di negeri Luwok tetapi beliau terus menghubungkan sejarah nenek moyangnya iaitu anak raja Bugis lima beradik yang memerintah empayar Johor-Riau pada abad ke-18.
            Perkataan tengku diberikan penerangan yang panjang dengan menggalurkan penggunaanya dari waktu Seri Teri Buana dari Palembang sehingga ke waktu beliau hidup terutama dalam menjelaskan perbezaan tengku, ungku atau raja. Hal ini demikian digunakan oleh keturunan pahlawan-pahlawan Bugis dan mereka berketurunan dari nasab raja-raja Johor. Hal ini turut memperlihatkan pemikiran Raja Ali Haji yang menggambarkan perkara mauduknya dengan jelas. Raja Ali Haji sememangnya istimewa kerana mampu memberikan contoh-contoh yang memang sinonim dengan bentuk-bentuk yang muncul dari sesuatu itu. Contoh-contoh yang diberikan selalunya daripada cakap ajuk supaya mudah difahami. Banyak perkataan yang diberikan nafas baru melalui kamus ciptaan beliau ini.
Secara kesimpulannya, merujuk kepada karya beliau ini dalam konteks masa dan zaman ketika itu, karya Raja Ali Haji sememangnya tersohor dan beliau boleh dikatakan sebagai pelopor kerana beliau tidak mempunyai sebarang model untuk dijadikan contoh dalam karyanya itu. Bahkan karya beliaulah yang dirujuk untuk melihat konteks bahasa atau nahu secara lebih jelas oleh masyarakat pada zaman tersebut dan berkembang hingga hari ini.



Bibliografi

Ding Choo Ming (2003). Kajian Manuskrip Melayu: Masalah, Kritikan dan Cadangan. Kuala       Lumpur: Utusan Publications & Dsitributors Sdn. Bhd

Harun Jaafar (2002). Wacana Kesusasteraan Melayu Klasik. Tanjong Malim: Penerbit Universiti Sultan Idris.

Ismail Yusoff (2008). Kesusasteraan Melayu Lama Dan Baru. Kedah: Universiti Utara Malaysia

Mohamad Daud Mohamad (1987). Tokoh-Tokoh Sastera Melayu KlasikKuala Lumpur: Dewan   Bahasa dan Pustaka

Raja Haji Ahmad dan Raja Ali Haji (editor: Virginia Matheson: 1982). Tuhfat al-Naffis. KualaLumpur: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd

Sahlan Mohd. Saman (1994). Pengarang Dan Keperangan MelayuKuala Lumpur: Dewan          Bahasa dan Pustaka


Siti Hawa Haji Salleh (1997). Kesusasteraan Melayu Abad Kesembilan Belas. Kuala Lumpur:       Dewan Bahasa dan Pustaka

Tiada ulasan:

Catat Ulasan