Jumaat, 28 November 2014

Analisis Karya Agung Hikayat Hang Tuah


Hikayat Hang Tuah



·       Konsep Penulisan Hikayat Hang Tuah

Hikayat Hang Tuah ialah sebuah epik Melayu yang bukan sahaja terkenal dalam kalangan bangsa Melayu tetapi di seluruh Nusantara dan salah satu manuskrip atau teks yang tertua. Penulisan Hikayat Hang Tuah yang asal telah ditulis dalam tulisan jawi. Pertama kali hikayat ini telah disebut pada kurun ke-17 dan dihasilkan pada akhir kurun ke-17 serta terdapat sekurang-kurangnya 20 manuskrip teks tersebut. Hikayat ini memperlihatkan ciri-ciri kepahlawanan pada zaman kesultanan Melayu yang mencatatkan watak Hang Tuah sebagai tokoh agung dan lambang kemegahan bagi bangsa Melayu. Berdasarkan buku Hang Tuah Tokoh Epik Nasional yang ditulis oleh Ahamd Sarji, Hikayat Hang Tuah telah ditulis antara tahun 1641 dan 1721 dan menurut Soelastin Soetrisno menyatakan bahawa jurang tarikh itu boleh dirapatkan lagi iaitu antara 1676 dengan 1700.

Watak Hang Tuah yang timbul dalam penulisan hikayat ini berbeza dalam bahagian pertama dengan wataknya dalam bahagian kedua. Dalam bahagian pertama, Hang Tuah digambarkan sebagai seorang pahlawan yang gagah, garang, dan berani. Dalam bahagian kedua pula Hang Tuah digambarkan seorang pengembara, diplomat, dan ahli sufi, iaitu bijaksana, sabar, dan warak. Kemungkinan, dua watak yang berbeza itu dapat digambarkan mempunyai dua peringkat riwayat bangsa Melayu sebelum zaman moden, iaitu peringkat kebangkitannya dan peringkat kejatuhannya. Melalui sifat-sifat Hang Tuah ini boleh dijadikan sebagai role model orang lain dan sebagai bukti kebolehan yang ada dalam diri seorang anak Melayu. 

Pengarang hikayat ini tidak diketahui tetapi mungkin menunjukkan bahawa beliau berasal daripada golongan pegawai Raja yang paling kanan iaitu Bendahara yang keluarganya mempunyai pertalian darah dengan Raja itu dan yang kelihatan mungkin memendam cita-cita untuk menduduki takhta. Mengikut Encyclopedia of Malaysia dalam buku Hang Tuah Tokoh Epik Nasional (2004: 3), perkataan “hikayat” ialah kata pinjaman daripada bahasa Arab yang bererti semua jenis sejarah. Dalam bahasa Melayu, erti perkataan ini telah berubah mengikut edaran masa sehingga dalam judul sesuatu karya, perkataan tersebut membawa maksud “cerita”.

·         Kekuatan Pengarang

Sebagai sebuah epik, Hikayat Hang Tuah mempunyai kekuatan tersendiri antaranya daripada segi gaya penulisan, iaitu bahasa. Pengarang Hikayat Hang Tuah telah memuatkan unsur-unsur puisi dalam karyanya sebagaimana prosa Melayu yang lain. Penggunaan puisi ini mampu menjadikan cerita itu berestetik dan indah apabila dibaca oleh orang lain. Puisi ini juga dapat menyampaikan maksud sama ada secara tersirat atau tersurat dan pembaca akan berasa terhibur apabila membacanya. Puisi pantun telah diselitkan dalam karya ini bagi menambahkan keindahan bahasa cerita. Contohnya :

                        Kain bersuji di atas atap,
                                    Pakaian raja hari raya;
                        Jika sudi tuan santap,
                                    Jika tidak apakan daya.

Hang Tuah dan para sahabatnya juga pandai berpantun. Hal ini demikian jelaslah bahawa mereka suka berbalas-balas pantun dalam menyampaikan sesuatu cerita bagi memeriahkan sesuatu keadaan.

Selain itu, kekuatan pengarang terserlah apabila banyak memaparkan aspek-aspek kemasyarakatan, kemanusiaan, kebudayaan, nilai-nilai moral, dan sebagainya. Aspek kemasyarakatan dapat dilihat apabila watak-watak dalamHikayat Hang Tuah ini mengamalkan sikap kerjasama, gotong-royong, bersatu-padu, dan sebagainya. Sebagai contoh sikap gotong-royong terpamer apabila rakyat jelata bersama-sama membina istana Melaka menyiapkan sebuah kapal atau jong untuk kenaikan raja. Bagi aspek kebudayaan pula dapat diperhatikan dalam pelbagai bentuk sama ada melalui adat resam yang diamalkan seperti adat pertabalan raja, menyambut tetamu, adat bertemu dengan raja atau pembesar kerajaan, adat kenduri, dan sebagainya. Nilai-nilai moral pula dapat ditunjukkan melalui watak Hang Tuah sendiri iaitu seorang yang merendah diri, rajin dalam menuntut ilmu, semangat kesetiaan kepada raja dan sahabat, hormat-menghormati, dan sebagainya. Sikap ini perlu dicontohi oleh para pembaca sebagai motivasi diri untuk menghadapi cabaran yang lebih besar. Jika nilai-nilai positif ini tidak ada dalam diri, maka sukarlah sesuatu pekerjaan itu dapat dilakukan dengan baik malah sering mendapat masalah. Oleh itu, setiap cerita mempunyai maksud yang hendak disampaikan sama ada baik atau buruk. Perkara yang baik dijadikan teladan dan yang buruk dijadikan sempadan.

·         Motif Pengarang

Antara motif pengarang Hikayat Hang Tuah ialah ingin mengetengahkan sifat-sifat positif yang ada dalam diri Hang Tuah itu sendiri. Jati diri Melayu terserlah melalui sifat peribadi Hang Tuah yang dianggap sebagai wira unggul Melayu dan sangat berwibawa. Sikap Hang Tuah telah dipaparkan oleh pengarang dalam pelbagai segi sama ada fizikal, mental, dan rohani. Contohnya, Hang Tuah mempunyai sifat keberanian yang tinggi dan luar biasa. Beliau mampu mengalahkan seramai 70 orang yang mengamuk ketika di Majapahit. Hal ini demikian dapat dibuktikan apabila Hang Tuah dilihat begitu bijak dalam mengatur strategi ketika berhadapan dengan 70 orang penjurit walaupun keseorangan disebabkan beliau mempunyai ilmu pengetahuan yang luas dalam dunia persilatan untuk mempertahankan diri daripada musuh. Sifat keberanian yang ditonjolkan ini perlu ada dalam diri setiap generasi seterusnya bagi mengelakkan berlakunya penindasan dan tidak adil dalam sesuatu pentadbiran. Orang yang berada di bawah juga tidak akan terus berada di bawah sebaliknya mampu memajukan diri menjadi yang lebih baik.

Selain itu, pengarang menunjukkan kepentingan menuntut ilmu sebagai suntikan semangat kepada generasi seterusnya untuk mendalami pelbagai ilmu pengetahuan. Hang Tuah telah memantapkan diri dengan mempelajari pelbagai ilmu sama ada secara zahir dan batin. Hal ini demikian dapat dibuktikan oleh Hang Tuah apabila beliau mampu bertutur dalam 12 bahasa asing, fasih berkata-kata, dan mempunyai raut wajah yang manis serta sopan. Gambaran fizikal Hang Tuah telah diceritakan dalam hikayat ini iaitu:

“Maka Syahbandar pun kasih mesra rasanya melihat laku Laksamana berkata-kata dengan bahasa Arab itu, fasih lidahnya dengan manis mukanya berkata-kata, sangat ia merendahkan dirinya”.

Hikayat Hang Tuah, hlm. 473 )

Ketika Hang Tuah berada di Tanah Arab, Rom, Siam, India, dan China, beliau mampu bertutur dan memahami setiap bahasa yang dituturkan oleh masyarakat tersebut. Contohnya, Kisna Rayan telah melantik Hang Tuah sebagai wakil kerajaan Keling ke negara China kerana kepandaian Hang Tuah bertutur dalam bahasa Keling menyamai dengan penduduk di negara tersebut. Hang Tuah juga mempelajari semua ilmu hulubalang dan pertapaan. Oleh itu, pengarang ingin menunjukkan bahawa budaya ilmu amat penting sebagai manusia Melayu. Dengan kemantapan ilmu yang dimiliki oleh seseorang mampu menjadikan diri dihormati dan disegani oleh orang lain. Walau bagaimanapun, ilmu yang dimiliki mestilah digunakan secara wajar dan bukan untuk membangga diri. Inilah perkara yang ingin diterapkan oleh pengarang melalui watak-watak yang dipaparkan dalam hikayat ini.



Abdul Halim Bandan (1994). Hikayah Hang Tuah untuk SPM. Kuala Lumpur: Cahaya Pantai
(M) sdn. Bhd

Ahmad Sarji (2004). Hang Tuah: Tokoh Epik Nasional. Selangor: Pelanduk Publications (M)
Sdn. Bhd

Kassim Ahmad (1997). Hikayat Hang Tuah. Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan dan Dewan
Bahasa dan Pustaka 

Yusoff  Iskandar dan Abd Rahman Kaeh (1985). Sejarah Melayu: Satu Perbincangan KritisDari Pelbagai Bidang. Kuala Lumpur: Heinnemann




Tiada ulasan:

Catat Ulasan