Jumaat, 28 November 2014

Analisis Karya Agung Sulalatus Salatin

Sulalatus Salatin

·         Konsep Penulisan Sulalatus-Salatin

Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu merupakan satu karya sejarah mengenai kebangkitan, kegemilangan dan kejatuhan zaman Kesultanan Melayu Melaka yang ditulis oleh beberapa orang pengarang Melayu. Teks –teks yang dikenali sebagai Sejarah Melayu atau Sulalatul Salatin  ini telah melalui beberapa zaman dan dianugerah dengan sejarahnya yang tersendiri. Karya ini telah menempuh beberapa tahap perkembangan. Naskah asal karya ini telah disalin beberapa kali di Johor. Karya ini ditulis pada tahun 1612 oleh Tun Seri Lanang dan cerita secara lisan serta salasiahnya telah berkembang dalam kalangan istana sejak awal dari tahun tersebut.

Sulalatus Salatin  adalah sebuah karya yang tercipta daripada titah raja. Terdapat sebuah titah yang berbunyi :

“bahawa hamba minta diperbuat hikayat pada bendehara perteturun segala raja-raja Melayu dengan istiadatnya supaya didengar oleh cucu kita kemudian dari kita dan ketahuinyalah segala perkataan, syahadah beroleh faedahnya mereka itu daripadanya”.

                                                                                             (Sulalatul Salatin, hlmn. 390)

Seluruh sejarah bangsa Melayu melalui karya ini dikonsepkan sebagai terdiri daripada cerita dan episod yang menjadi tapak dan petak sejarah. Dalam cerita dan episod ini terdapat peristiwa yang membawa kepada kesimpulan yang diinginkan misalnya nilai yang diunggulkan, manusia terpilih yang harus dicontohi serta kelemahan dan kejahatan yang merosakkan manusia dan negeri. Hal ini demikian seharusnya dielak dalam pembentukan sesebuah negeri. Tidak kurang juga soal hubungan antara manusia dan negeri yang aman dan berperadaban. Ruang naratif inilah yang membawa pelbagai makna yang tidak hanya menceritakan sebuah jurai keturunan raja-raja Melaka.

·         Kekuatan Pengarang

Kekuatan pengarangan yang dapat dianalisis berdasarkan karya ini ialah melalui bahasa yang disampaikan kepada pembaca. Bahasa hakikatnya berubah bergantung kepada zaman sesebuah karya itu ditulis. Karya akan diwarnai oleh perbendaharaan, cara penggunaan dan cita rasa zaman tersebut. Hal ini dapat membantu para pembaca menyelami akal budi seseorang pengarang Melayu dan dapat mencerminkan bahasa zamannya. Walaupun bahasa sesebuah teks itu dapat berubah mengikut zaman, namun bentuk aslinya masih dapat dikekalkan dan dibayangkan secara langsung kepada pembaca. Hal ini demikian kerana karya yang terhasil adalah daripada sumber bertulis dan bukan secara lisan.

Kekuatan bahasa dalam karya agung ini dibuktikan melalui penggunaan perbendaharaan kata iaitu banyak menggunakan kata-kata bahasa Melayu Kuno. Antara perkataan bahasa Malayu asli kuno yang didapati dalam karya ini seperti :

Tuha, mentuha, poawang, berparang, mutah, nulayan, nyiah, taban, junum, ejung, tujerumusy, ngeran, lasa, jengkelenar, maya, bilalang, remak, semakuk, menguliling, datu nene, bubung.

Begitu juga penggunaan imbuhan yang kita kenal sebagai /ber/, wujud dalam bentuk yang lebih pendek, /be/ yang kelihatan lebih awal sifatnya dalam perkataan seperti betingkah, belayam dan sebagainya. Terdapat juga bentuk kuno yang menyengaukan beberapa bunyi yang tidak lagi disengaukan dalam bahasa Melayu moden seperti :

                        menengar = mendengar
                        mementang  = membentang
mengantarkan = menghantarkan

Melalui penelitian dalam aspek bahasa karya ini, didapati terdapat penggunaan kata-kata pinjaman daripada bahasa Sanskrit yang telah diikitiraf dalam pekembangan awal bahasa melayu. Banyak penggunaan kata yang dipakai tanpa proses asimilasi ke dalam cara penyebutan Melayu.  Asmah haji Omar (1991: 141) juga telah mendapati terdapat pinjamaan bahasa Sanskrit yang lebih purba sifatnya dalam Sulalatus al-Salatin seperti :

            Nugraha, manusya, binasya, basya, syegera, kerena, karunia, syurga, dan pendita.

            Bakat sastera pengarang karya ini diturunkan dalam pelbagai nada seperti moralistis, sering khusuk dan merujuk kepada Al-Quran dengan pandangan sejarah yang amat luas dan melihat bahawa sejarah harus dibayar dan negara adalah perjanjian rakyat dengan rajanya yang dipilih Allah sebagai gantiNya di dunia (Muhammad Haji Salleh, 1997: 5). Antara unsur yang luar biasa melalui pengarangan teks ini ialah “vignette”nya iaitu bukan saja melukis bakat sepanjang sejarah, tetapi dilukin dengan mata pena  yang halus namun tajam. Ada yang mempamerkan neurosisnya, orang nakal, pelaram, pemabuk dan sebagainya.

Terdapat juga unsur yang jelas dibawa oleh pengarang dalamSulalatul Salatin iaitu unsur humor yang ditemui dalam halaman-halaman karya ini. Unsur humor diberikan tempat seiring dengan tragedi, keperitan hidup, penganiyaan dan penyeksaan. Dalam kajian Syed Zulfida (1976) dan Yusoff Iskandar dan Abd. Rahman Kaeh (1978: 119-134) diperlihatkan bagaimana Tun Seri Lanang kerap menggunakan unsur ini yang sering digandingkan oleh ejekan serta kecerdasan mengolah bahasa.


·         Motif Pengarang

Motif pengarang Melayu melalui teks yang ditulisnya tidak jauh membicarakan secara langsung mahupun tidak langsung aspek pengajaran dan kehidupan. Hal ini demikian sebagai salah satu tugas sasteranya. Berbagai-bagai cara telah digunakan untuk tujuan ini dan salah satunya ialah memberi ruang untuk menyampaikan pesanan terakhir seorang raja atau bendehara yang penting. Melalui kata-kata terakhir ini, kesimpulan daripada makna kehidupan dicerna untuk zaman dan generasi akan datang.

Cerita-cerita yang dipaparkan pengarang mempunyai unsur moral, agama dan pedagogi. Pembaca akan memperoleh maklumat tentang keturunan raja-raja Melayu dan adat istiadatnya serta peristiwa-peristiwa penting dalam perjalanan kerajaan Melayu Melaka dan jajahannya. Tambahan pula, pembaca juga diberi pengetahuan tentang kezaliman raja dan golongan bangsawan, serta bagaimana perlakuan seseorang raja yang zalim itu dibalas dengan keruntuhan negerinya. Sifat keangkuhan akan berakhir dengan kejatuhan dan pegawai yang jujur akan disanjung oleh masyarakat. 


Muhammad Haji Salleh (1997). Sulalatus al-Salatin. Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan                        Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan