Jumaat, 28 November 2014

Analisis Karya Agung Hikayat Merong Mahawangsa


ANALISIS KARYA AGUNG
Analisis dalam karya agung Hikayat Merong Mahawangsa adalah berkaitan dengan kajian  pengarang tersebut yang menyatakan bahawa hikayat ini dapat dikaitkan persamaan di antara  mitos dan realiti.

  • SINOPSIS

Angkatan Raja Merong Mahawangsa yang sedang belayar dari Rom ke negeri China telah diserang oleh geroda. Ia membuka negeri Langkasuka dan diangkat menjadi raja. Ia pulang ke Rom setelah menabalkan puteranya Raja Merong Mahapudisat menjadi raja. Langkasuka ditukar namanya ke Kedah Zamin Turan.
Berpandukan nasihat yang diberikan oleh ayahandanya, Raja Merong Mahapudisat merajakan putera sulungnya menjadi Raja Siam, putera tengah sebagai Raja Perak dan anakandanya yang ketiga, seorang puteri, sebagai Raja Patani. Putera yang bongsu menggantikan ayahanda mereka sebagai Raja Kedah dengan gelaran Raja Seri Mahawangsa. Raja inilah yang memulakan tradisi menghantar persembahan bunga mas dan bunga perak sebagai hadiah kepada kekandanya, Raja Siam, setiap kali kekandanya mendapat putera.
Raja Seri Mahawangsa mangkat setelah kecewa dengan puteranya yang tidak menurut perintah dan digantikan oleh putera itu dengan gelaran Raja Seri Maha Inderawangsa. Seterusnya putera Raja Seri Maha Inderawangsa menjadi raja dengan gelaran Raja Ong Maha Perita Deria yang lebih terkenal dalam sejarah negeri Kedah sebagai Raja Bersiong. Apabila Raja Bersiong turun dari takhta setelah ditentang kerana kezalimannya, puteranya ditabalkan sebagai Raja Phra Ong Mahapudisat. Raja ini digantikan oleh puteranya, Raja Phra Ong Mahawangsa yang kemudiannya menjadi raja Kedah yang pertama memeluk agama Islam. Syeikh Abdullah Yamani menukarkan namanya kepaga Sultan Muzaffar Syah.
  • ANTARA MITOS DAN REALITI
Untuk menimbulkan kekaguman masyarakat dan mengekalkan ketinggian martabat raja-raja Kedah, pengarang merendahkan lagi penceritaannya dengan memasukkan peranan yang dimainkan oleh gajah sakti Gemala Johari. mitos binatang sakti tidak ketinggalan dalam karya-karya historiografi Melayu yang lain. Adanya Gemala Johari di sini adalah sesuatu yang diharapkan. Masalah yang tidak dapat diselesaikan oleh manusia dengan mudah diatasi oleh gajah sakti. Gemala Johari masuk ke hutan dan membawa ke istana putera Raja Bersiung dengan isterinya anak orang berhuma di hujung negeri. Sengaja peranan Siam dalam menentukan siapa pengganti raja itu diperkecilkan dengan memulangkan segala-galanya kepada Gemala Johari.
Supaya kedaulatan raja dan keturunannya dapat dipertahankan pengarang mengambil masa untuk menerangkan asal usul keluarga yang berhuma itu. Isteri Raja Bersiung bukanlah sembarangan orangnya tetapi berasal daripada biaperi.
Jelas pengarang memikirkan terlebih dahulu semasak-masaknya dan merancang dengan teliti pengolahan fakta dan teknik penulisannya. Bukan sahaja beliau harus membentangkan fakta sejarah tetapi juga mengadunkannya dengan cara yang terbaik supaya kedudukan raja tidak terjejas. Unsur-unsur mitoslah yang membantunya memenuhi tugas ini. Segala alasan yang dikemukakan tidak lagi dipersoalkan kerana kebanyakan unsur mitos itu sudahpun sebati dalam pemikiran masyarakatnya. Atas dasar 'percaya' dengan mudah dan berkesan, sesuatu yang hanya ada di dalam pemikiran pengarang lahir menjadi realiti.
Jika dinilai semula huraian pengarang tentang penghantaran bunga emas ke Siam, kita akan dapati bahawa penafiannya adalah sesuatu yang biasa. Negeri-negeri Melayu lain yang pernah terlibat dengan Siam enggan mengaku bahawa penghantaran bunga emas itu adalah bukti tertunduknya mereka ke bawah kuasa Siam. Bagi mereka kiriman itu dibuat sebagai suatu usaha diplomasi mententeramkan kerajaan Siam dan menghalangnya daripada menyerang negeri-negeri Melayu itu.
Walaupun pada mulanya Hikayat Merong Mahawangsa menyatakan bahawa putera-putera dan puteri raja Kedah yang membuka negeri-negeri Siam, Perak dan Petani, hanya Siam sahaja yang diulang sebut oleh pengarang. Tidak ada lagi rujukan dibuat berhubung dengan Perak dan tentang Petani pula hanya disebut sekali.
Hal ini membayangkan keadaan yang sebenarnya di mana dalam realiti sememangnya ada perhubungan yang erat antara Kedah dengan Siam. Walau bagaimana sekalipun diusahakan oleh pengarang menyembunyikan fakta itu, ia muncul sebagai sesuatu yang benar.
Kemudian pengarang menceritakan tentang Kelana Hitam yang menjadi raja di Pulau Air Tawar ingin menaiki takhta kerajaan negeri Kedah apabila didengarnya Kedah tidak beraja selepas hilangnya Raja Bersiung. Pengarang menyatakan secara kebetulan angkatan Kelana Hitam telah bertembung dengan angkatan Kelahum dari Siam. Kelahum telah ditugaskan menabalkan pengganti Raja Bersiung setelah orangnya ditemui.
Nyata Kelana Hitam tidak sempat mencapai cita-citanya kerana dihalang oleh Kelahum. Pertempuran berlaku dan Kelana Hitam ditawan. Peperangan ini telah digambarkan dengan teliti dan terperinci oleh pengarang. Beliau menggunakan klise-klise yang terdapat dalam karya-karya kesusasteraan Melayu klasik apabila menggambarkan sesuatu keadaan. Kekuatan dan kegagahan panglima-panglima diceritakan satu persatu. Tidak terdapat karya historiografi lain yang melukiskan gambaran peperangan yang sebegitu jelas dan menarik. Selain dari lukisan suasana pengarang juga memperlihatkan pengetahuannya tentang teknik peperangan orang zaman dahulu dan cara-cara mengatur perang.
Kisah peperangan ini memperlihatkan beberapa persamaan dengan kisah peperangan dalam Hikayat Seri Rama yang disadur dari Ramayana. Tetapi jika dibandingkan dengan lebih teliti, gambaran peperangan dalam Hikayat Merong Mahawangsa lebih realistik dan berpijak dibumi yang nyata. Kemenangan dicapai lebih kerana ketajaman akal dan kepintaran ilmu perang dan kepahlawanan manusia biasa dan bukan sebab kesaktian dan kedewaan.
Persamaan yang terdapat dalam bahagian ini dengan apa yang ditemui dalam Hikayat Seri Rama adalah kerana kedua-dua hikayat ini hasil kesusasteraan lama. Pengarang tidak dapat lari menggunakan susunan kata dan struktur kalimat yang sama dengan yang terdapat dalam karya-karya lain yang sezaman dengannya. Persamaan yang terdapat dianggap tidak merendahkan mutu karya tersebut malah mendekatkan lagi dengan karya-karya sezaman dan membolehkan ia dimasukkan ke dalam golongan yang sama.
Kerana pertimbangan yang berlainan ramai sarjana barat keberatan memberi Hikayat Merong Mahawangsa penilaian yang saksama dan terus menganggapnya sebuah karya yang kurang bermutu. Winstedt secara mudah mengenepikan hikayat ini tanpa mempertimbangkan nilai-nilai masyarakat yang menghasilkan karya ini.
Di samping itu dapat dibuat kesimpulan bahawa kemunculan Kelana Hitam adalah disengajakan oleh pengarang untuk menerangkan lebih jelas perhubungan yang erat antara Kedah dan Siam. Pengarang juga menggunakan kesempatan itu untuk menguatkan hujah bahawa hanya raja yang berasal dari keturunan Merong Mahawangsa sahaja yang layak menaiki takhta kerajaan Kedah.
Naungan Siam ke atas Kedah diteruskan gambarannya dengan menyebutkan bahawa Kelahum meneruskan perjalanannya ke Kedah. Setelah menemui tempat yang baik di Sala, Kelahum membina kota di situ dan memerintahkan orang-orangnya pergi mengadap menteri keempat dan menjemput raja yang baru datang bermain ke Sala. Di Salalah raja Kedah yang baru ditabalkan dengan nama Raja Phra Ong Mahaputisat. Kelahum telah melaksanakan tugasnya sebagai wakil Raja Siam untuk mengiktirafkan raja itu. Secara tersembunyi pengarang membuat implikasi bahawa pengiktirafan itu tidak membawa apa-apa kesan kerana sewaktu Kelahum sampai, raja itu sudah lama bersemayam di Kota Aur. Dan berangkatnya ke Sala adalah lebih untuk bersuka-suka memburu binatang dan menangkap ikan.
Apabila Kelahum berangkat pulang ke Siam, Raja Phra Ong Mahaputisat mengirimkan hadiah bunga emas dan bunga perak kepada Raja Siam. Selepas itu dikatakan Kedah dan Siam tidak berputusan menghantar utusan tiap-tiap tahun tanda berkasih. Pengarang tetap mempertahankan bahawa perhubungan itu adalah antara dua negara Staraf. Begitulah caranya pengarang menjaga maruah rajanya tanpa menyingkirkan fakta sejarah sebenarnya.
Berbeza dengan kebanyakan karya historiogfari Melayu yang lain, Hikayat Merong Mahawangsa tidak menghadkan unsur mitos dikemukakan hanya dibahagian awal cerita. Pengarang memasukkan unsur mitos di mana-mana sahaja asalkan dapat digunakan untuk sesuatu tujuan, terutama sekali untuk menambahkan takjub rakyat terhadap rajanya. Dalam hal ini Hikayat Merong Mahawangsa agak selari dengan Hikayat Banjar.
Kerana itu di pertengahan ceritapun tiba-tiba pembaca bertemu dengan kelahiran Raja Buluh Betung dari ruas buluh yang dibawa pulang oleh Raja Phra Ong Mahaputisat dari berburu. Di dalam Hikayat Raja-Raja Pasai dan Hikayat Acheh, unsur mitos seperti ini hanya terdapat di bahagian awal cerita. Seharusnya semakin dekat pengarang dengan zaman yang lebih terkemudian, unsur mitos ditinggalkan dan diganti dengan fakta-fakta yang bersifat kenyataan.
Pengarang ini telah menggunakan kebebasannya untuk melanggar kebiasaan ini. Jelas kepadanya unsur mitos dan realiti. Kemungkinan lain ialah pengarang menemui kesempatan di sini untuk memasukkan mitos ini kerana tidak sesuai di bahagian lain. Beliau mesti memasukkan mitos ini kerana di dalam penulisan-penulisan lain mitos ini tidak ditinggalkan.
Kelahiran Raja Buluh Betung diseimbangkan dengan penemuan Puteri Seluang di tengah-tengah buih putih yang mengalir di Sungai Kuala Muda. Puteri Seluang bukanlah sesuatu yang asing dalam karya-karya historiografi Melayu kerana terdapat rakan-rakan sejenisnya dalam Sejarah Melayu, Hikayat Banjar, Cerita Sukadana dan Sulsilah Kutai, masing-masing dengan nama Puteri Tanjung Buih dan Puteri Junjung Buih dan sebagainya.
Di dalam Hikayat Merong Mahawangsa wajar Raja Buluh Betung dikahwinkan dengan Puteri Seluang kerana sama-sama berunsur mitos. Dan kewujudan mereka bertentangan dengan realiti. Kedua-duanya tidak dibenarkan berkembang wataknya. Keturunan mereka tidak mungkin dapat menduduki taktha kerajaan kerana asal usulnya. Nyata disini terdapat semacam pertentangan antara unsur mitos dan realiti. Karya ini merupakan suatu penulisan sejarah, unsur realiti dipertahankan.
Begitu kecil peranan mitos ini sehingga apabila Raja Phra Ong Mahawangsa, saudaranya memeluk agama Islam, Raja Buluh Betung sengaja tidak disebut. Raja Buluh Betung ketika itu ditugaskan membina kota baru di Padang Terap. Pengarang menyingkirkan watak mitos ini dari dunia yang bersifat realiti dengan menceritakan bahawa Raja Buluh Betung membawa diri setelah mendengar isterinya Puteri Seluang berbuat jahat dengan salah seorang pembesar dalam semasa peningggalannya.
Sama seperti beberapa watak dalam Hikayat Banjar yang hilang jasadnya sesudah mati, Raja Buluh Betung juga dikatakan bertukar kembali manjadi buluh setelah menghembuskan nafas yang terakhir. Sebelum mangkat Raja Buluh Betung memperlihatkan kepahlawanannya berperang dengan angkatan Datuk Sungkai yang datang menyerang Kota Palas. Puteri Seluang pula tidak lagi disebutkan selepas melahirkan Megat Zainal.
Kerana kisah Raja Buluh Betung dikemukakan dalam peringkat yang sudah lewat dalam hikayat ini, ia sengaja diasingkan dari istana besar di Kuala Muda. Kemangkatannya tidak menimbulkan apa-apa persoalan. Pengarang telah cuba menggambarkan realiti watak ini dengan menghidupkan unsur kepahlawannya. Unsur realitinya juga dilahirkan menerusi reaksi Sultan Muzafar Syah ketika menerima berita kemangkatannya. Pengarang menulis :
"......maka tiada berkata-kata lagi, tunduk, tengadah, menahankan air mata, kenangkan saudara Raja Buluh Betung itu......"
Seterusnya pengarang menegakkan lagi mitos tentang Raja Buluh Betung ini dengan mengemukakan sesuatu yang bersifat realiti. Menteri Lela Putera telah memohon supaya Sultan Muzafar Syah menghantar salah seoarang puteranya ke Kota Palas untuk menggantikan Raja Buluh Betung. Sultan telah memenuhi permintaan itu dengan merajakan Raja Muazzan, Raja Mahmud dirajakan di Kota Hulu Padang Terap dan Raja Sulaiman dihantar ke Langkapuri. Dengan ini juga pengarang menguatkan pengakuan tentang adanya kota-kota yang dibina oleh Raja Buluh Betung semasa hayatnya pada hal Raja Buluh Betung itu adalah watak mitos. Mungkin juga dalam kisah ini Langkapuri ialah Langkawi.
Di dalam karya-karya historiografi Melayu lain, batasan antara mitos dan realiti lebih jelas jika dibandingkan dengan hikayat ini. Cara penceritaan juga berubah menjadi lebih jelas dengan pernyataan peristiwa-peristiwa yang betul-betul berlaku. Di samping pengarang sendiri ada orang-orang lain yang tahu tentang peristiwa-peristiwa itu. Tidak seperti peristiwa-peristiwa yang dikemukakan pada bahagian awal penulisan yang cara penyampaiannya adalah hasil pemikiran dan pengolahan pengarang sendiri. Cara unsur-unsur mitos itu disampaikan bergantung kepada tujuan yang ingin dicapai oleh pengarang.
Keistimewaan Hikayat Merong Mahawangsa yang teragung ialah cara yang dipilih oleh pengarang untuk mengisahkan bagaimana Raja Phra Ong Mahawangsa memeluk agama Islam. Keagungan dan keangkuhan pengarang dari istana Kedah ini menghalang beliau dari mengulang sebut cara yang sudah termaktub di dalam Hikayat Raja-Raja Pasai dan Sejarah Melayu. Di mana kedua-dua hikayat itu memperlihatkan unsur-unsur persamaan yang amat jelas, Hikayat Merong Mahawangsa, atas kebijaksanaan pengarangnya mengemukakan sejarah pengislaman yang tiada persamaannya dalam karya-karya historiogfari yang lain. Gaya yang tersendiri ini ialah hasil kepintaran pengarang menggembelingkan unsur-unsur realiti. Pengarang telah membuktikan bahawa beliau mempunyai daya imaginasi yang kuat ketika mengolah bahagian ini.
Telah termaktub di jiwa pengarang bahawa peristiwa raja memeluk agama Islam adalah peristiwa kemuncak dalam penulisannya. Dengan itu kisah ini mestilah dikemukakan dengan sekuat-kuat impak dan kesan yang terdaya. Peristiwa yang terpenting ini tidak mungkin dikemukakan dengan begitu sahaja. Ia harus dikemukakan berlainan dari yang sudah ada dalam karya-karya lain. Unsur mimpi seperti dalam Hikayat Raja-Raja Pasai dan Sejarah Melayu tidak akan memberi keadaan yang diharapkan. Unsur peperangan seperti Hikayat Banjar tidak akan mencapai tujuan yang dimaksudkan oleh pengarang. Kisah bagaimana Islam sampai ke Kedah mestilah mengatasi penceritaan-penceritaan lain yang sudah ada. Ini hanya dapat dilakukan dengan mengadunkan unsur realiti dengan mengadunkan unsur realiti dengan yang bukan realiti tetapi masih boleh diterima akal.
Mungkin setelah membuat pertimbangan-pertimbangan inilah akhirnya pengarang menulis tentang kedatangan Islam ke Kedah mestilah mengadunkan unsur realiti dengan yang bukan realiti tetapi masih boleh diterima akal.
Pertama sekali, pengarang mengatakan Islam yang sampai ke Kedah itu telah dibawa oleh Sheikh Abdullah dari Baghdad. Pilihannya wajar bukan sahaja nama itu mengandungi 'aura'nya yang terasing tetapi juga kerana Baghdad tidak kurang pentingnya sebagai suatu pusat perkembangan dan pentadbiran kerajaan Islam.
Walaupun Sejarah Melayu ada menyebut tentang seseorang Raja Kedah pernah mengadap ke Melaka untuk menerima nobat, Hikayat Merong Mahawangsa tidak menyentuh tentang perkara ini. Mungkin masa yang dikemukakan dalam Hikayat Merong Mahawangsa lebih awal daripada yang disentuh oleh Sejarah Melayu berhubung dengan peristiwa ini. Hikayat Acheh juga menyentuh tentang kedatangan Islam ke Kedah tetapi Hikayat Merong Mahawangsa menyepi tentang rujukan ini. Biarpun demikian, pengarang menyatakan pada masa Kedah menerima Islam, Acheh telah lama memeluk agama itu. Dikatakan apabila Acheh mendengar Kedah sudah Islam, rajanya mengirim dua buah kitab karangan Sheikh Nuruddin al-Raniri untuk dikaji. Namun demikian jelas bahawa pengarang kita enggan melibatkan kerajaan-kerajaan Melayu lain dalam karangannya dan mengrekonstruksikan versinya yang tersendiri. 

Sumberhttp://www.mykedah2.com/10heritage/111_2_p3.htm

Tiada ulasan:

Catat Ulasan