Ahad, 30 November 2014

Artikel 1

KOLEKSI -KOLEKSI ARTIKEL

Sulalatus Salatin merupakan sebuah karya sejarah yang menceritakan mengenai kebangkitan, kegemilangan dan kejatuhan zaman Melayu Melaka. Salalatus Salatin juga dikenali dengan nama sejarah Melayu atau Hikayat Melayu. Karya ini disusun oleh Tun Muhammad atau nama timbangnya Tun Seri Lanang. Karya ini ditulis adalah untuk memperlihatkan kebesaran, keagungan, kedudukan dan sejarah silam Raja-Raja Melayu. Hal ini bersesuaian dengan maksud Salalatus Salatin itu sendiri iaitu “Salasiah Sultan-Sultan” atau “Segala Raja-Raja”. Selain itu, Sulalatus Salatin juga memaparkan kehebatan dan kegemilangan kerajaan-kerajaan Melayu, contohnya kerajaan Melayu Melaka. Kerajaan Melayu ini dikatakan tiada tandingannya dengan kerajaan lain. Di samping itu, karya ini juga menunjukkan kebesaran dan kebijaksaan bangsa Melayu itu sendiri. Hal ini dapat dilihat pada pembesar-pembesar dan pahlawan Melayu pada masa itu. contohnya Tun Perak dan Hang Tuah dikatakan mempunyai tahap pemikiran yang tinggi serta kepimpinan yang unggul.                                         

Beberapa koleksi artikel-artikel yang berhubung dengan karya-karya telah dikenalpasti daripada majalah, surat khabar dan sebagainya.

i)                    Artikel “Ungkapan Sulalatus atas Kanvas Pak Mail”.
Oleh: Roshlawati Raieh
Sumber: Sinar Harian, 24 Jun 2012

Dalam artikel ini, pengarang menceritakan peristiwa yang menarik yang terkandung dalam Sulalatus Salatin. Antara peristiwa yang dibincangkan oleh penulis ialah kisah perjanjian di antara Demang Lebar Daun dengan Seri Teri Buana. Menurut penulis, perjanjian tersebut berlaku apabila Seri Teri Buana, iaitu Raja negeri Palembang, berduka lara kerana segan untuk menyuarakan hasratnya untuk mengambil anak Demang Lebar Daun, Raden Ratna CenderaPuri sebagai isterinya. Sebelumnya, baginda telah beberapa kali beristeri tetapi wanita yang dikahwininya itu telah diserang penyakit kulit sebaik sahaja beradu semalaman. Demang Lebar Daun yang merendahkan martabat dirinya sebagai rakyat biasa walaupun beliau bekas raja negeri Palembang, berasa susah hati apabila melihat baginda murung. Apabila ditanya kepada Seri Teri Buana sebab musababnya, maka baginda pun menyuarakan perasaan yang telah lama terbuku sekian lama. Demang Lebar Daun pun berseruju untuk bermenantukan baginda tetapi dengan syarat: Jika anak Demang Lebar Daun terkena penyakit kulit juga, sama seperti isteri-isterinya yang lain terdahulu, baginda dikehendaki jangan mengeluarkannya dari istana. Sebaliknya diminta terus memberi kebenaran untuk tinggal di istana walaupun sebagai hamba suruhan. Syarat yang kedua ialah baginda diminta untuk tidak memalukan rakyat walaupun kesalahan yang dilakukan itu adalah besar dan syarat yang ketiga ialah raja hanya boleh menjatuhkan hukuman bunuh jika memenuhi hukum syarak. Berdasarkan kepada petikan tersebut, penulis menerangkan kepada pembaca bahawa perjanjian yang dilakukan di atas itu sebenarnya menjadi dasar kepada konsep daulat dan derhaka di mana melatari perhubungan di antara raja dengan rakyat yang berterusan dari zaman ke zaman sehinggalah ke hari ini. Penulis cuba mengetengahkan sistem pemerintahan dan pentadbiran yang diamalkan oleh golongan atasan kepada golongan bawahan. Dalam perjanjian itu sebenarnya mempunyai perkara yang tersirat iaitu, golongan yang mewakili perjanjian tersebut adalah Demang Lebar Daun yang mewakili golongan rakyat dan Seri Teri Buana yang mewakili golongan di raja. Apabila dikaji semula mengenai perjanjian tersebut maka jelaslah terbukti bahawa perjanjian tersebut tidak sama sekali menjatuhkan martabat dan maruah raja tetapi yang mengalami kerugian adalah golongan rakyat. Penulis cuba menjelaskan bahawa golongan raja mampu untuk melakukan apa sahaja demi untuk menjaga maruah dan martabatnya daripada terjejas. Bukan itu sahaja, penulis cuba menyampaikan kesungguhan Balai Seni Visual Negara (BSVN) yang mengadakan Pameran Sulalatus Empayar Kesultanan Melayu Melaka yang bertujuan untuk mempertahankan sejarah klasik daripada pupus dan dilupai masyarakat kini. Pameran ini mendedahkan masyarakat mengenai sejarah dan kegemilangan empayar Kesultanan Melayu Melaka sepanjang abad ke-15. Secara kesimpulannya artikel ini membincangkan tentang hubungan raja dengan rakyat dan harga kedaulatannya. Dengan ini dapatlah dikatakan bahawa karya agung merupakan karya yang sangat besar di mana di dalamnya terkandung segala budaya dan kerajaan besar Melayu Melaka. Manakala hasil lukisan yang dipamerkan adalah bagi memastikan pengabdian sejarah bangsa Melayu sebagai teras kesejarahan Malaysia.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan